Monday, March 27, 2006

Aku dan bunga

Dihadapanku ada sejambak bunga..
Mekar segar dan mewangi..
Seperti dirinya..
Yang berseri di hati ini..

Dihadapanku juga ada sejambak bunga..
Yang sedang melayu..
Sepertinya dirinya..
Yang menanti pada suatu kerinduan..

Di hati ini ada sekuntum bunga..
Yang menyeri pada suatu kehidupan..
Untuk diriku....
Yang mengharap pada suatu kebahagiaan..

Dan di hatinya ada cinta..
Yang tumbuh segar...
Untuk dituai bersama rasa..
Dalam sebuah episod cinta..

-sanijohari 27032006

Saturday, March 25, 2006

PERMAINAN

PERMAINAN
Kubuka sebuah pintu dengan tangan yang
berdarah
dan impian pecah di dalam genggaman
ketika di hatiku tiada lagi laut dan hutan
untuk menyembunyikan segala rahsia
seorang manusia bernama lelaki
Kini aku tak lagi takut menghadapi dendam
yang dikirimkan oleh sunyi
atau dusta yang selalu menari di depan matahari
Kerana telah kutemui wujudku
di tengah pikuk serta muslihat dunia
dan fikiran tidak akan kulacurkan
di tengah ini permainan.

Marsli NO
Kuantan

Saturday, March 18, 2006

KISAH INSPIRASI DARI JENDELA HOSPITAL


Mungkin ada yang telah membaca kisah ini. Cerita ini menarik dan saya menaipnya semula sebab saya amat takut kisah ini hilang begitu sahaja jika tidak diarkibkan. Jadi hayatilah dan hargailah kehidupan ini. Betapa bernasib baiknya kita.


Ada dua lelaki yang sakit dan berkongsi bilik hospital yang sama. A dibenarkan duduk di atas katilnya selama sejam pada setiap petang bagi membolehkan pengaliran keluar cecair daripada paru-parunya. Katilnya terletak di sebelah satu-satunya tingkap yang ada di dalam bilik itu.

Sementara itu, seorang lagi lelaki, B, perlu menghabiskan masanya dengan berbaring sahaja di atas katilnya. Kerja A dan B hanya bercakap , bercakap dan bercakap sepanjang hari. Bercerita tentang isteri, keluarga, rumah , pekerjaan, percutian , kampung halaman dan sebagainya.

Setiap petang A akan bangun dan menghabiskan masanya selama sejam dengan menggambarkan apa yang dilihatnya di luar jendela kepada B. Kehidupan B selama satu jam itu menjadi meriah dan luas tatkala dia mula membayangkan warna-warna kehidupan dan aktiviti di luar sana.

Tingkap itu betul-betul menghala ke sebuah taman yang turut diserikan dengan sebuah tasik yang indah. Itik dan angsa bermain-main di gigi tasik manakala anak-anak riang menolak bot mainan masing-masing. Turut kelihatan, pasangan kekasih yang berjalan sama sambil berpimpinan tangan di tengah-tengah kuntuman bunga yang berserakan. Paling menarik adalah pemandangan latar langit bandar raya yang terlihat dari kejauhan.

Dalam pada A menggambarkan kesemuanya dengan cara yang indah dan terperinci, B pula memejamkan matanya rapat-rapat sambil membayang senario yang penuh indah permai itu.

Pada suatu petang yang redup, A menggambarkan ada perarakan kereta berhias sedang berlangsung melalui hospital. Sekalipun tidak dapat mendengar pasukan pancaragam bermain gendang, namun B tetap dapat melihatnya menerusi mata hatinya, sebagaimana yang dipaparkan oleh A dengan kata-kata.

Pada suatu pagi seorang jururawat yang biasa menyediakan air untuk mandian mereka mendapati A, yang ditempatkan di sebelah tingkap, sudah tidak bernyawa lagi. Dia mati dengan aman di dalam tidurnya. Jururawat tersebut berasa sungguh sedih lalu memanggil atendan hospital untuk menguruskan jenazahnya.

Beberapa hari kemudian, B bertanya kalau-kalau di aboleh berpindah ke katil lama A bersebelahan tingkap. Jururawat tersebut dengan senang hati membuat pertukaran dan setelah memastikan B benar-benar selesa, dia keluar dari bilik itu.

Dengan perlahan-lahan dan mengalami sedikit kesukaran, B menopang menggunakan sebelah sikunya untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri keindahan dunia luar. Dengan bersusah-payah, dia memusingkan badannya untuk melihat ke luar jendela. Yang ada cuma dinding berbatu bata yang kosong.

B memanggil jururawat tersebut dan bertanya, apakah yang membuatkan A bercerita seolah-olah melihat semua pemandangan yang luar biasa disebalik jendela itu. Kata jururawat itu : "A buta. Dia bahkan tidak mampu untuk melihat tembok besar itu. Barangkali, A ingin memberimu semangat untuk hidup."

Sebagai renungannya, ada kebahagiaan yang memuncak apabila kita membuatkan orang lain berasa gembira di sebalik situasi kita sendiri yang mungkin tidak berapa baik ketika itu. Pendek kata, rasa duka yang dikongsi bersama menjadikan kedukaan itu tinggal separuh tetapi sebaliknya, apabila kebahagiaan pula yang dikongsikan , ia menjadi berganda.

Jika anda mahu berasa kaya , mudah sahaja. Hitunglah perkara-perkara baik yang anda ada dan lakukan, yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Percayalah, ada hal-hal yang mempesona saat kita mampu memberikan kebahagiaan kepada orang lain.

Nota:
Sasterawan Inggeris Charles Caleb Colton pernah mengingatkan bahawa persahabatan dengan percintaan ibarat dua sungai yang bersatu di muara. Malah Charles pernah berkata, “Persahabatan tidak mustahil berakhir dengan percintaan tapi tidak ada percintaan yang berakhir dengan persahabatan.”

Manusia yang paling gagah di dunia ini adalah mereka yang mempu menahan kesepiannya ... Henrik Ibsen

Diambil di DJW 19/03/2006

Aku, Dia dan Semalam ...V2

"En bobo kembali, dia mendesak ku dengan bersungguh untuk kembali menulis kisahnya. Satu desakan yang begitu kuat hingga aku tidak berupaya lagi untuk menolaknya, tiada daya lagi untukku mengenepikannya. Desakannya kali ini begitu bertenaga dari biasa.. begitu utuh..begitu terasa...begituuu ..arkghhhhhh...."

-------------------------------------

Kesunyian malam itu amat terasa, yang dengar hanyalah bunyi cengkerik yang bergerincingan. Unggas unggas malam turut memulakan peranan masing masing, mencorakkan kehidupan. Dalam satu ruang yang sempit.

Aku lihat dalam kesamaran malam yang hanya bertemankan cahaya rembulan itu, sekujur tubuh sedang duduk berteleku, berpeluk tubuh, dan ada getar kesejukkan di bibirnya. Dirinya basah dek disimbah hujan yang mencurah tadi. Lencun dan lesi kulihat dirinya. Terdetik rasa kasihan , satu watak yang aku amat amat kenal sejak dari dulu lagi, en bobo...satu nama yang diberikan oleh si dia.


" ya ALLAH, kurniakanlah untukku cintaMu & cinta orang yang mencintaiMu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu...jadikanlah segala pemberianMu yang aku sayangi sebagai kekuatan bagiku mencintaiMu...jadikanlah segala yang Engkau pisahkan dariku, sedangkan ia sangat aku sayangi sebagai ruang untuk cintaMu dalam diriku...Amin..."


Aku dengar ada lafaz doa dibibirnya, biar tanpa tangan yang ditadahkan kelangit, sinar kesungguhan atas lafaznya itu benar benar terpancar dari wajahnya, begitu jelas sekali. Aku terdiam seketika melihat reaksi yang ditunjukkan oleh en bobo. Amat jarang sekali dia berkelakuan sebegitu, dan tanpa aku sedar ada rasa kepanasan mengalir dipipiku, rasa panas yang menghapuskan kedinginan malam di waktu itu. Takungan airmata yang selama ini begitu kupertahankan telah pecah dan melimpah, mengalir keluar membasahi pipi ini. Perasaanku ketika itu terasa sama sepertinya ketika waktu pertingkahan en bobo dan sani, rasa ketika diri en bobo basah, sebelum dia meninggalkan ruang dialog tadi.

"En bobo, kenapa duduk disini" satu suara yang amat lembut menyapa. Bagaikan sakti ia menyejukan kembali ruang itu. Ada sekuntum senyuman manis di bibirnya yang merah itu, membuatkan perasaanku kembali tenang. Setenang air di kali, dengan kehadiran yang bersakti.

"Awak.., aaa..bagaimana awak boleh datang kesini". En bobo sedikit terkejut dengan kehadiran itu. Dagunya didongakkan keatas memandang tepat pada satu wajah yang telah mewujudkan rasa sakti tadi. Dia hadir, dia yang yang bernama Zita hadir. Tangannya yang mulus itu dihulurkan pada en bobo, disambut lembut. En bobo tersenyum, tidak lagi berteleku, bangun dan merapatkan tubuhnya pada dia.

"Awak datang.." lembut lafaznya.

"hmmm..."

Bayu malam berpuput lagi, menghembus perlahan, menyapu lembut pada kedua mereka. Dedaunan pohon meliuk sedikit sedikit. Sesekali hembusannya hadir bersama sejuknya embun. Menyegarkan sesiapa saja yang merasainya. Jemari kurus en bobo dilarikan perlahan ke pipi Zita, merapati bibirnya untuk bertemu senyuman disitu.

"Senyumanmu sentiasa manis, senyumanmu sentiasa berseri, senyumanmu sentiasa buat ku melayang, senyumanmu..."

"Sudahlah en bobo...hentikan manis ucapanmu, saya bukan begitu. Jangan begini, nanti kau juga yang akan terseksa."

"Kenapa pula..salahkah jika en bobo ingin menyatakan kebenaran..".

Dialog terhenti seketika, seteguk air liur ditelan dituruti dengan satu hembusan keluhan dari en bobo. Pandangan matanya tepat pada mata Zita, saling berpandangan, cuba untuk menyelami perasaan yang wujud ketika itu.

"benar, itulah rasa yang hati ini lalui sebentar tadi. Aku takkan sekali kali menipu, terutama sekali dirimu, insan yang amat kusayang."

Dia mengukir satu lagi senyuman dibibir merah rekahnya, tapi tidak bersuara. Senyumannya menampakkan sedikit rasa tidak percaya dengan kata kata dari en bobo, bagai di buat buat.

"kau tahu, dahulu aku memang cuba untuk tidak terlalu rapat dengan dirimu, cuba lari. Tapi entah kuasa apa yang telah mendekatkan ku padamu. Bukan aku tidak mencuba melupakan dirimu tapi...kemesraan yang tiba tiba wujud itu sekali lagi menghambat aku untuk kembali kesini. Kembali ke ruang yang aku sudah muak ini."

"muak.." sepatah kata keluar.

"Ya, muak dengan ruang perbicaraan ini, tapi..ketahuilah inilah kemuakan yang aku mahukan berkali kali."

"Bagaimana harus kemuakan menjadi perkara yang dimahukan berkali, musykil.." Dia bertanya dengan penuh tanda keliru.

"Bukankah sudah aku katakan dahulu, menyayangimu adalah satu kebahagiaan buatku, menyintaimu pula adalah kenikmatan bagiku. Biarpun aku sedar jika aku luka kernanya, pasti luka ini adalah luka yang maha hebat pernah aku alami. Parutnya akan kekal selama lamanya.."

"Maha hebat..ha ha ha ha ha" Satu tawa tiba tiba muncul dalam perbicaraan itu.Tawa yang amat membingitkan dan menjengkelkan telinga sesiapa saja yang mendengarnya. Tawa yang sengaja dikuatkan, tawa yang sengaja dicelahkan.

Dari sini aku dapat melihat dengan jelas satu lagi kelibat melengkapkan perbicaraan hati antara mereka, Sani. Sani melangkah pantas menghampiri en bobo dan Zita, mana mungkin dia tidak mahu melibatkan dirinya disitu. Satu perbicaraan yang amat amat dinantikan olehnya, satu perbicaraan yang bakal merungkai kekacauan di jiwa mereka. Ketiga mereka bertemu, en bobo menjarakkan sedikit dirinya dari Sani, sedikit wajah jelak terpapar diwajahnya.

"Salam sejahtera sahabatku" Sani memulakan perbicaraan. Matanya tepat ditujukan pada en bobo, cuma sesekali ekor matanya dilarikan ke arah dia.

"Kau mahu apa hingga ke sini, kenapa tak siapkan saja sistem yang ditempah minggu lepas. Eh mana komputer busuk kau..kenapa tak bawa sekali, bukan kau tak boleh berenggang ke dengan 'menatang' tu".

"Sudah, aku tahu menilai yang mana lebih penting buatku, aku bukan macam kau, terlalu berjiwa hingga merosakkan diri, tidak tahu menilai mana baik mana buruk. Mencinta yang terlanjur bukan caranya, sukat dan letakkan tahap.Kena ingat Ini bukan perkara picisan, yang boleh diambil ringan."

"Aku tidak pernah mengangap ini perkara picisan, tidak pernah sekali kali. Kasih yang tumbuh di jiwaku ini menyubur dengan sendiri. "

"Masakan boleh subur jika tidak dibaja dan dijaga." Noktah seketika, Sani beralih pandangan pada dia, memerhatikan reaksinya. Mencari cari jika ada rasa disitu. Gagal menemukan sesuatu.Keadaan tegang sedikit tenang. Masing masing mengambil peranan untuk mendinginkan keadaan.

"Kau tidak boleh salahkan dia, ini permasalahan kita, aku sendiri yang memilih untuk menyayangi dirinya."

"Hmm, aku sendiri tidak tahu entah apa jenis permainan ini, en bobo, entah berapa kali kau alami rasa ini, aku sendiri sudah tidak sanggup mengiranya. Rasa kasih yang asyik berputusan, tidak persisten."

"Bukan kah dulu kita sama sama tidak bersedia, kau sendiri yang mengatur untuk menyelesaikan dahulu perkara dominan kau."

"Dan kau bersetuju dengannya, tapi mengapa kali ini kau begitu keras membantah? Aku tak nak bantahan ini merosakkan kita, kerna kita satu. Jika kau sakit aku turut sakit, jika kau merana aku juga turut merana. Begitulah kisah kita ini, takkan ada penghujungnya."

"hmm...Apa kau tidak tahu, apa kau tidak dapat merasa perbedaannya. Rasa ini tidak sama seperti cerita cerita dahulu yang kita alami, lebih bersulam kemanisan. Dia memberikan ku lebih rasa hidup. Hati aku dan dia kurasa bagaikan satu, rentak tari kehidupan aku dan dia kurasa seiring. Keseiringan yang bukan dipaksa paksa seperti sebelum ini."

Mata Sani sekali lagi memandang tepat pada dia, sekali lagi cuba mencari jawapan. Apa yang aku lihat dia hanya menundukkan dirinya, membatukan diri. Terlihat jelas kerunsingan yang baru diciptakan oleh kedua watak utama di sebalik wajahnya. Kasihan, aku sedar dia begitu cuba untuk memahami perbicaraan itu. Aku, si pemerhati ini cuba cuba juga menduga, dan aku kira inilah saatnya aku patut menghentikan perbicaraan ini. Dia keliru, dan aku tahu dia tidak akan menyangka en bobo begitu terlanjur begini dengan dirinya. Dia mungkin juga tidak menyangka en bobo begitu bodoh. Dia mungkin juga tidak menyangka Sani begitu orangnya. Dan mungkin juga dia tidak menyangka dia punya pilihan seperti ini dalam ribuan senarainya. ha ha ha...ketawa apa ini..

Malam makin menghitam, sepi terus bertandang. Ketiga mereka berpandangan sesama sendiri. Deruan angin malam yang menyejukkan bagaikan terhenti, sepertimana perbicaraan mereka, bagai turut sama merasa kerunsingan yang baru diciptakan tadi.

Sunyi.....

Unggas unggas malam yang berterbangan menghentikan peranan, langit kermizi mula menampakkan cahaya dari sang mentari. Menyinar dan menghangatkan. Mereka bertiga masih lagi disitu membiarkan cahaya mentari itu sedikit sedikit menjamah kulit mereka. Masih lagi membisu seperti tadinya.

Tiba tiba en bobo mengangkat kepalanya, ada bicara yang ingin disuarakan. Aku kira ini penutup perbicaraan dan aku mahukan ianya begitu. Aku sudah tidak sanggup lagi melihat permainan ini. Aku sudah tidak sanggup lagi melihat kedukaan menari sekali lagi. Ada suara keluar dari bibir en bobo...bersyair kukira, satu sifat yang tak pernah lekang dari hidupnya..


terlontar pandangan...
jauh dari kenyataan...
mencari kebenaran...
di tabir keraguan...
bersungguhkah?...
atau sekadar kata - kata...
yang hakikatnya...
tanpa sebarang makna...
namun aku cuba untuk mengerti...
belajar untuk memahami...
walau akhirnya..
aku sendiri...
masih xdapat mencari...
satu jawapan yang pasti...

" dia tau aku banyak kekurangan...
dia tau aku banyak kelemahan...
tiada yang terbaik melainkan tercela...
kenapa bila aku lari dia mengejar?...
bila aku berhenti dia juga turut berhenti?....
kenapa dia tidak melepaskanku?
sedangkan dia tau dia tidak menyukai ku?...
mungkin kah dia mahu mempermainkanku?...
mungkin juga dia terpaksa atau tamakkan lelaki?...
aku menanti satu jawapan yang pasti....!! "


Terus syair itu menghentikan dialog ketiga mereka, sepertimana yang kumahukan. Mereka saling berpandangan, masing masing bertanya pada hati perihal rasa yang wujud. Amat amat berharap akan ketemu satu jawapan. Dan aku disini yang sekadar memerhati menjadi kaku, rasa minda bagai dikunci tidak dapat menulis lagi, tidak dapat mencoret lagi. Apa yang boleh kulakukan ketika ini adalah berharap dariNya agar ditunjukkanku sebuah jalan yang lurus.

Ruang itu kembali sepi....

to be continue..
Aku, dia dan Semalam....Versiku V3 (satu kematian atau satu kelahiran...)

Wednesday, March 08, 2006

Aku, dia dan semalam V1

"Dialog ini dirakam semalam...dialog di antara en bobo dan sani.."
Suasana sunyi malam itu, hujan baru sahaja memulakan rentaknya, rintikan yang amat perlahan. Kulihat sani masih lagi dihadapan komputernya, keyboard ditekan pantas, sesekali matanya di sisipkan kepada temannya en bobo yang sedang berpeluk tubuh disebelahnya. Dia mengumil sedikit, ada sedikit rasa meluat kelihatan diwajahnya dengan reaksi en bobo yang begitu bersahaja..
"apa saja kau ni, malam kan dah larut, pergi tidur la"
Sani cuba memulakan perbualan protes, tanda menunjukkan dia tidak senang dengan perbuatan bersahaja en bobo.Tiada jawapan atau reaksi.En bobo masih lagi berpeluh tubuh dan bermain muka selambanya.Tiba tiba mulutnya terbuka .....menguap rupanya, dan terus bersuara.
"apa yang kau cakapkan ini, bagaimana aku boleh tidur kalau kau masih lagi disini, bertemankan komputer busuk kau ni, sudahlah, kau ingat dengan melakukan perkara ini semuanya akan selesai..kau akan dapat melupakan dia..lupakan.." en bobo terus membalas, nampaknya dia juga tidaklah begitu berpuas hati.
Aku lihat en bobo menekapkan matanya tepat pada sani, ada pertemuan empat mata disitu.
"aku runsing sekarang ni" kata sani lagi
"runsing..hmm itulah kau sengaja mencari pasal, sengaja menjemput kerunsingan.. tengoklah sekarang apa yang dah jadi pada kau, masih lagi terperangkap disini, bertemankan komputer busuk kau."
"aku tidak seperti kau, bersahaja, mudah dalam setiap perkara yang kau lakukan..aku tak mahu dapat hasil seperti kau sekarang..kosong.."
"kosong..itu hanya pendapat kau, sekurang kurangnya aku mencuba.." suara en bobo semakin keras, benar benar keras.
"aku tak mahu kisah lama berulang, beberapa kisah lalu yang aku lalui..semuanya disebabkan kau..terlalu bereaksi..kau tahu tak bagi aku didunia ini kita cuma diberi 2 pilihan. Biar sesukar mana pun kita perlu memilih salah satu darinya. Samada kita belajar mencintai orang yang mencintai diri kita atau berharap dicintai orang yang kita cintai. "
"itu kisah dahulu..klasik.."
"klasik..atas ukuran masa mana kau ambil untuk klasifikasi klasik...sepurnama...setahun.."
en bobo terdiam seketika, ada kerutan di dahinya, entahlah apa yang difikirkan . terasa begitu besar kata kata yang patut dikeluarkan dari kerongkongnya, bagaikan ada batu yang tersekat di situ.
"ianya sesuatu yang komplek, subjektif..mana mungkin kau akan dapat menaksirkan perkara itu. bukankah kau kata dulu dirimu jahil dalam perihal ini."
"aku cuma bersimpati dengan dirimu, kau sendiri tahu bukan nanti hasilnya masih sama..kosong"
"kosong..kosong ......kosong..itu sahaja yang kau tahu, itulah yang aku katakan tadi kau jahil..kekosongan itu punya nikmat, punyai nilai estetikanya yang tersendiri..penuh keindahan..aku rasa kau juga setuju dengan itu, kerna kau juga turut merasanya."
"huh..rasa..rasa yang cuma seketika cuma sekelumit..kepedihannya yang lebih ketara.."
"bukankah kita kebal.."
"kekebalan itu dahulu..kini aku bukan lagi sekebal dahulu..tembok2 yang aku bina kini tidak setebal dahulu..aku kini lemah..sangat lemah."
"kalau begitu..biarlah aku seorang sahaja yang menanggungnya..kerna aku percaya, menyayangi seseorang itu bukanlah satu kekesalan atau penyiksaan..kerna aku rasa bahagia bila berbuat demikian..dan aku ingin sekali merasa kebahagian itu selagi ada wujudnya ia..aku rela dibakar, atau diseksa untuk merasainya, kerna bukan kah ini perjalanan memikat cahaya kita..perjalanan yang dahulunya kita janji untuk lakukannya bersama sama."
en bobo menghentikan dialognya. diluar hujan makin menggila.en bobo mula bergerak perlahan meninggalkan ruang perbualan itu, meninggalkan sani keseorangan bertemankan komputernya.
Hujan diluar menggandakan lagi rintikan, ada diselang selikan dengan dentuman, terus menggila. Dan dalam deras rintikan hujan itu, aku lihat en bobo meneruskan perjalanannya, tanpa menoleh lagi kebelakang dan membiarkan rintikan hujan itu membasahkan dirinya yang sudah basah...