Saturday, March 18, 2006

KISAH INSPIRASI DARI JENDELA HOSPITAL


Mungkin ada yang telah membaca kisah ini. Cerita ini menarik dan saya menaipnya semula sebab saya amat takut kisah ini hilang begitu sahaja jika tidak diarkibkan. Jadi hayatilah dan hargailah kehidupan ini. Betapa bernasib baiknya kita.


Ada dua lelaki yang sakit dan berkongsi bilik hospital yang sama. A dibenarkan duduk di atas katilnya selama sejam pada setiap petang bagi membolehkan pengaliran keluar cecair daripada paru-parunya. Katilnya terletak di sebelah satu-satunya tingkap yang ada di dalam bilik itu.

Sementara itu, seorang lagi lelaki, B, perlu menghabiskan masanya dengan berbaring sahaja di atas katilnya. Kerja A dan B hanya bercakap , bercakap dan bercakap sepanjang hari. Bercerita tentang isteri, keluarga, rumah , pekerjaan, percutian , kampung halaman dan sebagainya.

Setiap petang A akan bangun dan menghabiskan masanya selama sejam dengan menggambarkan apa yang dilihatnya di luar jendela kepada B. Kehidupan B selama satu jam itu menjadi meriah dan luas tatkala dia mula membayangkan warna-warna kehidupan dan aktiviti di luar sana.

Tingkap itu betul-betul menghala ke sebuah taman yang turut diserikan dengan sebuah tasik yang indah. Itik dan angsa bermain-main di gigi tasik manakala anak-anak riang menolak bot mainan masing-masing. Turut kelihatan, pasangan kekasih yang berjalan sama sambil berpimpinan tangan di tengah-tengah kuntuman bunga yang berserakan. Paling menarik adalah pemandangan latar langit bandar raya yang terlihat dari kejauhan.

Dalam pada A menggambarkan kesemuanya dengan cara yang indah dan terperinci, B pula memejamkan matanya rapat-rapat sambil membayang senario yang penuh indah permai itu.

Pada suatu petang yang redup, A menggambarkan ada perarakan kereta berhias sedang berlangsung melalui hospital. Sekalipun tidak dapat mendengar pasukan pancaragam bermain gendang, namun B tetap dapat melihatnya menerusi mata hatinya, sebagaimana yang dipaparkan oleh A dengan kata-kata.

Pada suatu pagi seorang jururawat yang biasa menyediakan air untuk mandian mereka mendapati A, yang ditempatkan di sebelah tingkap, sudah tidak bernyawa lagi. Dia mati dengan aman di dalam tidurnya. Jururawat tersebut berasa sungguh sedih lalu memanggil atendan hospital untuk menguruskan jenazahnya.

Beberapa hari kemudian, B bertanya kalau-kalau di aboleh berpindah ke katil lama A bersebelahan tingkap. Jururawat tersebut dengan senang hati membuat pertukaran dan setelah memastikan B benar-benar selesa, dia keluar dari bilik itu.

Dengan perlahan-lahan dan mengalami sedikit kesukaran, B menopang menggunakan sebelah sikunya untuk melihat dengan mata kepalanya sendiri keindahan dunia luar. Dengan bersusah-payah, dia memusingkan badannya untuk melihat ke luar jendela. Yang ada cuma dinding berbatu bata yang kosong.

B memanggil jururawat tersebut dan bertanya, apakah yang membuatkan A bercerita seolah-olah melihat semua pemandangan yang luar biasa disebalik jendela itu. Kata jururawat itu : "A buta. Dia bahkan tidak mampu untuk melihat tembok besar itu. Barangkali, A ingin memberimu semangat untuk hidup."

Sebagai renungannya, ada kebahagiaan yang memuncak apabila kita membuatkan orang lain berasa gembira di sebalik situasi kita sendiri yang mungkin tidak berapa baik ketika itu. Pendek kata, rasa duka yang dikongsi bersama menjadikan kedukaan itu tinggal separuh tetapi sebaliknya, apabila kebahagiaan pula yang dikongsikan , ia menjadi berganda.

Jika anda mahu berasa kaya , mudah sahaja. Hitunglah perkara-perkara baik yang anda ada dan lakukan, yang tidak boleh dibeli dengan wang ringgit. Percayalah, ada hal-hal yang mempesona saat kita mampu memberikan kebahagiaan kepada orang lain.

Nota:
Sasterawan Inggeris Charles Caleb Colton pernah mengingatkan bahawa persahabatan dengan percintaan ibarat dua sungai yang bersatu di muara. Malah Charles pernah berkata, “Persahabatan tidak mustahil berakhir dengan percintaan tapi tidak ada percintaan yang berakhir dengan persahabatan.”

Manusia yang paling gagah di dunia ini adalah mereka yang mempu menahan kesepiannya ... Henrik Ibsen

Diambil di DJW 19/03/2006

No comments: