Saturday, March 18, 2006

Aku, Dia dan Semalam ...V2

"En bobo kembali, dia mendesak ku dengan bersungguh untuk kembali menulis kisahnya. Satu desakan yang begitu kuat hingga aku tidak berupaya lagi untuk menolaknya, tiada daya lagi untukku mengenepikannya. Desakannya kali ini begitu bertenaga dari biasa.. begitu utuh..begitu terasa...begituuu ..arkghhhhhh...."

-------------------------------------

Kesunyian malam itu amat terasa, yang dengar hanyalah bunyi cengkerik yang bergerincingan. Unggas unggas malam turut memulakan peranan masing masing, mencorakkan kehidupan. Dalam satu ruang yang sempit.

Aku lihat dalam kesamaran malam yang hanya bertemankan cahaya rembulan itu, sekujur tubuh sedang duduk berteleku, berpeluk tubuh, dan ada getar kesejukkan di bibirnya. Dirinya basah dek disimbah hujan yang mencurah tadi. Lencun dan lesi kulihat dirinya. Terdetik rasa kasihan , satu watak yang aku amat amat kenal sejak dari dulu lagi, en bobo...satu nama yang diberikan oleh si dia.


" ya ALLAH, kurniakanlah untukku cintaMu & cinta orang yang mencintaiMu serta cinta yang dapat mendekatkan aku kepada cintaMu...jadikanlah segala pemberianMu yang aku sayangi sebagai kekuatan bagiku mencintaiMu...jadikanlah segala yang Engkau pisahkan dariku, sedangkan ia sangat aku sayangi sebagai ruang untuk cintaMu dalam diriku...Amin..."


Aku dengar ada lafaz doa dibibirnya, biar tanpa tangan yang ditadahkan kelangit, sinar kesungguhan atas lafaznya itu benar benar terpancar dari wajahnya, begitu jelas sekali. Aku terdiam seketika melihat reaksi yang ditunjukkan oleh en bobo. Amat jarang sekali dia berkelakuan sebegitu, dan tanpa aku sedar ada rasa kepanasan mengalir dipipiku, rasa panas yang menghapuskan kedinginan malam di waktu itu. Takungan airmata yang selama ini begitu kupertahankan telah pecah dan melimpah, mengalir keluar membasahi pipi ini. Perasaanku ketika itu terasa sama sepertinya ketika waktu pertingkahan en bobo dan sani, rasa ketika diri en bobo basah, sebelum dia meninggalkan ruang dialog tadi.

"En bobo, kenapa duduk disini" satu suara yang amat lembut menyapa. Bagaikan sakti ia menyejukan kembali ruang itu. Ada sekuntum senyuman manis di bibirnya yang merah itu, membuatkan perasaanku kembali tenang. Setenang air di kali, dengan kehadiran yang bersakti.

"Awak.., aaa..bagaimana awak boleh datang kesini". En bobo sedikit terkejut dengan kehadiran itu. Dagunya didongakkan keatas memandang tepat pada satu wajah yang telah mewujudkan rasa sakti tadi. Dia hadir, dia yang yang bernama Zita hadir. Tangannya yang mulus itu dihulurkan pada en bobo, disambut lembut. En bobo tersenyum, tidak lagi berteleku, bangun dan merapatkan tubuhnya pada dia.

"Awak datang.." lembut lafaznya.

"hmmm..."

Bayu malam berpuput lagi, menghembus perlahan, menyapu lembut pada kedua mereka. Dedaunan pohon meliuk sedikit sedikit. Sesekali hembusannya hadir bersama sejuknya embun. Menyegarkan sesiapa saja yang merasainya. Jemari kurus en bobo dilarikan perlahan ke pipi Zita, merapati bibirnya untuk bertemu senyuman disitu.

"Senyumanmu sentiasa manis, senyumanmu sentiasa berseri, senyumanmu sentiasa buat ku melayang, senyumanmu..."

"Sudahlah en bobo...hentikan manis ucapanmu, saya bukan begitu. Jangan begini, nanti kau juga yang akan terseksa."

"Kenapa pula..salahkah jika en bobo ingin menyatakan kebenaran..".

Dialog terhenti seketika, seteguk air liur ditelan dituruti dengan satu hembusan keluhan dari en bobo. Pandangan matanya tepat pada mata Zita, saling berpandangan, cuba untuk menyelami perasaan yang wujud ketika itu.

"benar, itulah rasa yang hati ini lalui sebentar tadi. Aku takkan sekali kali menipu, terutama sekali dirimu, insan yang amat kusayang."

Dia mengukir satu lagi senyuman dibibir merah rekahnya, tapi tidak bersuara. Senyumannya menampakkan sedikit rasa tidak percaya dengan kata kata dari en bobo, bagai di buat buat.

"kau tahu, dahulu aku memang cuba untuk tidak terlalu rapat dengan dirimu, cuba lari. Tapi entah kuasa apa yang telah mendekatkan ku padamu. Bukan aku tidak mencuba melupakan dirimu tapi...kemesraan yang tiba tiba wujud itu sekali lagi menghambat aku untuk kembali kesini. Kembali ke ruang yang aku sudah muak ini."

"muak.." sepatah kata keluar.

"Ya, muak dengan ruang perbicaraan ini, tapi..ketahuilah inilah kemuakan yang aku mahukan berkali kali."

"Bagaimana harus kemuakan menjadi perkara yang dimahukan berkali, musykil.." Dia bertanya dengan penuh tanda keliru.

"Bukankah sudah aku katakan dahulu, menyayangimu adalah satu kebahagiaan buatku, menyintaimu pula adalah kenikmatan bagiku. Biarpun aku sedar jika aku luka kernanya, pasti luka ini adalah luka yang maha hebat pernah aku alami. Parutnya akan kekal selama lamanya.."

"Maha hebat..ha ha ha ha ha" Satu tawa tiba tiba muncul dalam perbicaraan itu.Tawa yang amat membingitkan dan menjengkelkan telinga sesiapa saja yang mendengarnya. Tawa yang sengaja dikuatkan, tawa yang sengaja dicelahkan.

Dari sini aku dapat melihat dengan jelas satu lagi kelibat melengkapkan perbicaraan hati antara mereka, Sani. Sani melangkah pantas menghampiri en bobo dan Zita, mana mungkin dia tidak mahu melibatkan dirinya disitu. Satu perbicaraan yang amat amat dinantikan olehnya, satu perbicaraan yang bakal merungkai kekacauan di jiwa mereka. Ketiga mereka bertemu, en bobo menjarakkan sedikit dirinya dari Sani, sedikit wajah jelak terpapar diwajahnya.

"Salam sejahtera sahabatku" Sani memulakan perbicaraan. Matanya tepat ditujukan pada en bobo, cuma sesekali ekor matanya dilarikan ke arah dia.

"Kau mahu apa hingga ke sini, kenapa tak siapkan saja sistem yang ditempah minggu lepas. Eh mana komputer busuk kau..kenapa tak bawa sekali, bukan kau tak boleh berenggang ke dengan 'menatang' tu".

"Sudah, aku tahu menilai yang mana lebih penting buatku, aku bukan macam kau, terlalu berjiwa hingga merosakkan diri, tidak tahu menilai mana baik mana buruk. Mencinta yang terlanjur bukan caranya, sukat dan letakkan tahap.Kena ingat Ini bukan perkara picisan, yang boleh diambil ringan."

"Aku tidak pernah mengangap ini perkara picisan, tidak pernah sekali kali. Kasih yang tumbuh di jiwaku ini menyubur dengan sendiri. "

"Masakan boleh subur jika tidak dibaja dan dijaga." Noktah seketika, Sani beralih pandangan pada dia, memerhatikan reaksinya. Mencari cari jika ada rasa disitu. Gagal menemukan sesuatu.Keadaan tegang sedikit tenang. Masing masing mengambil peranan untuk mendinginkan keadaan.

"Kau tidak boleh salahkan dia, ini permasalahan kita, aku sendiri yang memilih untuk menyayangi dirinya."

"Hmm, aku sendiri tidak tahu entah apa jenis permainan ini, en bobo, entah berapa kali kau alami rasa ini, aku sendiri sudah tidak sanggup mengiranya. Rasa kasih yang asyik berputusan, tidak persisten."

"Bukan kah dulu kita sama sama tidak bersedia, kau sendiri yang mengatur untuk menyelesaikan dahulu perkara dominan kau."

"Dan kau bersetuju dengannya, tapi mengapa kali ini kau begitu keras membantah? Aku tak nak bantahan ini merosakkan kita, kerna kita satu. Jika kau sakit aku turut sakit, jika kau merana aku juga turut merana. Begitulah kisah kita ini, takkan ada penghujungnya."

"hmm...Apa kau tidak tahu, apa kau tidak dapat merasa perbedaannya. Rasa ini tidak sama seperti cerita cerita dahulu yang kita alami, lebih bersulam kemanisan. Dia memberikan ku lebih rasa hidup. Hati aku dan dia kurasa bagaikan satu, rentak tari kehidupan aku dan dia kurasa seiring. Keseiringan yang bukan dipaksa paksa seperti sebelum ini."

Mata Sani sekali lagi memandang tepat pada dia, sekali lagi cuba mencari jawapan. Apa yang aku lihat dia hanya menundukkan dirinya, membatukan diri. Terlihat jelas kerunsingan yang baru diciptakan oleh kedua watak utama di sebalik wajahnya. Kasihan, aku sedar dia begitu cuba untuk memahami perbicaraan itu. Aku, si pemerhati ini cuba cuba juga menduga, dan aku kira inilah saatnya aku patut menghentikan perbicaraan ini. Dia keliru, dan aku tahu dia tidak akan menyangka en bobo begitu terlanjur begini dengan dirinya. Dia mungkin juga tidak menyangka en bobo begitu bodoh. Dia mungkin juga tidak menyangka Sani begitu orangnya. Dan mungkin juga dia tidak menyangka dia punya pilihan seperti ini dalam ribuan senarainya. ha ha ha...ketawa apa ini..

Malam makin menghitam, sepi terus bertandang. Ketiga mereka berpandangan sesama sendiri. Deruan angin malam yang menyejukkan bagaikan terhenti, sepertimana perbicaraan mereka, bagai turut sama merasa kerunsingan yang baru diciptakan tadi.

Sunyi.....

Unggas unggas malam yang berterbangan menghentikan peranan, langit kermizi mula menampakkan cahaya dari sang mentari. Menyinar dan menghangatkan. Mereka bertiga masih lagi disitu membiarkan cahaya mentari itu sedikit sedikit menjamah kulit mereka. Masih lagi membisu seperti tadinya.

Tiba tiba en bobo mengangkat kepalanya, ada bicara yang ingin disuarakan. Aku kira ini penutup perbicaraan dan aku mahukan ianya begitu. Aku sudah tidak sanggup lagi melihat permainan ini. Aku sudah tidak sanggup lagi melihat kedukaan menari sekali lagi. Ada suara keluar dari bibir en bobo...bersyair kukira, satu sifat yang tak pernah lekang dari hidupnya..


terlontar pandangan...
jauh dari kenyataan...
mencari kebenaran...
di tabir keraguan...
bersungguhkah?...
atau sekadar kata - kata...
yang hakikatnya...
tanpa sebarang makna...
namun aku cuba untuk mengerti...
belajar untuk memahami...
walau akhirnya..
aku sendiri...
masih xdapat mencari...
satu jawapan yang pasti...

" dia tau aku banyak kekurangan...
dia tau aku banyak kelemahan...
tiada yang terbaik melainkan tercela...
kenapa bila aku lari dia mengejar?...
bila aku berhenti dia juga turut berhenti?....
kenapa dia tidak melepaskanku?
sedangkan dia tau dia tidak menyukai ku?...
mungkin kah dia mahu mempermainkanku?...
mungkin juga dia terpaksa atau tamakkan lelaki?...
aku menanti satu jawapan yang pasti....!! "


Terus syair itu menghentikan dialog ketiga mereka, sepertimana yang kumahukan. Mereka saling berpandangan, masing masing bertanya pada hati perihal rasa yang wujud. Amat amat berharap akan ketemu satu jawapan. Dan aku disini yang sekadar memerhati menjadi kaku, rasa minda bagai dikunci tidak dapat menulis lagi, tidak dapat mencoret lagi. Apa yang boleh kulakukan ketika ini adalah berharap dariNya agar ditunjukkanku sebuah jalan yang lurus.

Ruang itu kembali sepi....

to be continue..
Aku, dia dan Semalam....Versiku V3 (satu kematian atau satu kelahiran...)

No comments: