Thursday, July 29, 2010

Yg Ku Mahu pt11

Mak cuma tersenyum. Cincin bermata satu yang baru tersarung dijari manisnya bersinar indah. Cincin yang menandakan dirinya kini milik Faizal. Gila!. Satu ciuman singgah dipipi.
“Aina”, Dipeluk sahabatnya yang kian langsing selepas bersalin.
“Aku tak sangka kau pilih Faizal budak satu kelab dengan kita dulu. Kau tak cerita pun dengan aku yang kau satu kerja dengan dia”.
“Saja nak bagi kau suprise”, ujarnya cuba menyembunyikan keresahan. Aina ketawa.
“Kak Laila mana?”. Dipandangnya keliling mencari kelibat Laila. Baru semalam dia menghubungi Laila supaya datang ke majlisnya hari ini.
“Oo dia kirim salam kat kau, dia tak sempat nak bagi tahu kau. Dia sekarang kat Sabah ikut husband dia. Biasa la orang suami askar ni kena pindah randah je”,
“Shamsul mana?”,
“Ada kat bawah dengan Faizal. Dia kan kenal Faizal”,
“Ooo aku lupa”, Suraya sengih. Dia terlupa yang Shamsul juga menyertai kelab dan sama-sama mengenali Faizal.
“Anak kau mana?”, ujarnya lagi. Aina tersenyum, banyak pula soalan minah ni.
“Dengan bapak dia la”, Suasana sepi seketika. Aina menarik jari manis Suraya. Dibeleknya cincin bermata satu itu.
“Zairi tahu pasal ni?”, Suraya jungkit bahu. Dia sendiri tidak pasti dimana lelaki itu sekarang.
“Aku harap kau tak menyesal dengan apa yang kau buat ni Sue”,
“Aku tak penah menyesal dan aku tak akan menyesal ”, Aina sengih. Dia tahu tindakan Suraya meninggalkan Zairi sedikit sebanyak memeranjatkan ramai pihak. Tak ada angin ribut perhubungan yang lama itu lenyap sekelip mata. Aina sendiri tak tahu apa puncanya. Janji kau bahagia Sue bisik Aina dalam hati.

Tetamu yang hadir semakin berkurangan. Walaupun sekadar kenduri pertunangan terasa kemeriahan kenduri itu semacam meriah majlis perkahwinan.

“Sue mari keluar. Mak mentua kamu nak jumpa”, dia bergegas keluar keruang tamu. Di situ ahli keluarga Faizal sudah bersiap sedia untuk pulang. Puan Zarina ibu Faizal datang dan memeluk dirinya. Dikucupnya dahi Suraya.
“Makcik harap sangat Sue dapat jaga Faizal nanti”,

Dia cuma mampu tersenyum. Satu perjanjian yang tak mungkin dia dapat ucapkan. Terlalu tinggi harapan Puan Zarina terhadapnya. Terasa kasih sayang Puan Zarina mengalir dalam dirinya saat wanita itu mencium dahinya. Matanya bertembung dengan mata Faizal. Lelaki itu cuma tersenyum memerhatikannya. Tiba-tiba hatinya dilanda pilu. Bagaimana reaksi mereka bila tahu perhubungan ini hanya pura-pura?. Bagaimana marahnya mak bila tahu yang aku cuma berlakon?. Apa yang akan Aina cakap bila tahu perkara sebenar?. Bagaimana untuk menghadapi segala kemungkinan bila pertunangan ini akan diputuskan nanti?. Matanya bergenang. Dia tak mahu membayangkan itu semua.

Jam tangan dikerling sekali lagi. Lima minit lagi. Suraya tersenyum bila iswara hijau itu berhenti disisinya. Terus dia masuk kedalam kereta.
“Assalamualaikum”, lelaki itu menyapanya.
“Waalaikumsalam”, dia senyum lagi. Dia suka dengan cara Wan Adli. Tak pernah lupa mengucap salam dan tak pernah bibir lelaki itu lekang dari senyuman.
“Kita pergi makan dulu ye” Wan Adli bersuara. Saat lelaki itu tersenyum..kegugupan meyerang dirinya. Iswara hijau meluncur laju membelah malam.
“Betul ke tindakan yang awak buat tu?”, Suraya jungkit bahu tanda tidak tahu. Dia tak pasti tindakan bertunang dengan Faizal itu betul atau tidak. Apa yang dia tahu sekarang dia bebas dari dijodohkan dengan Kamarul.
“Benda macam ni jangan buat main. Awak tak terfikir ke besok apa jadi?”.
“Saya dah sedia nak hadapi reaksi keluarga saya”,
“Bukan tu, maksud saya...awak tak terfikir ke satu hari nanti kalau awak betul-betul jatuh cinta pada Faizal”, persoalan Wan Adli hanya mampu disambut dengan sengihan. Dia tak pernah terfikir hingga ke situ.
“Kami dah buat perjanjian. Kami cuma kawan”,
“Jangan macam tu. Perasaan tu anugerah Tuhan. Awak tak boleh nak halang semua tu”,
“Saya harap sangat perasaan tu tak akan terjadi”,
“Jangan takbur Sue.percayalah cakap saya. Awak boleh menipu orang ramai dengan lakonan awak tu tapi awak tak bole menipu diri sendiri bila perasaan tu dah wujud dalam hati awak”,
“Dalam hati saya cuma ada seorang je . Saya tak izinkan orang lain duduk disini”, seraya dia menudingkan jari kedadanya.
“Hubungan kita ni tak akan kemana. Suatu hari nanti awak terpaksa izinkan orang lain juga duduk dalam hati awak tu” Suraya geleng kepala. Dia tak mahu mendengar ayat seterusnya dari Wan Adli. Dia tahu hubungan nya dengan Wan Adli cuma disini dan tak ada penghujungnya. Tak mungkin Faizal dan aku akan jatuh cinta. Aku dengan Faizal cuma kawan. Faizal punya pilihan sendiri dan aku juga akan mencari pilihan sendiri. Perjanjian tetap perjanjian.

“Bila Tuhan dah anugerahkan perasaan tu awak tak boleh lari darinya ”
Kata-kata Wan Adli tergiang-giang ditelinganya. Dibuka laci, kemudian dikeluarkan cincin dari kotak baldu kecil berwarna biru. Cincin itu dijulang ke atas. Bersinar permata bila terkena cahaya matahari. Dia tersenyum sendiri. Alangkah indah jika aku betul-betul tunangan orang. Aku dengan Faizal bertunang atas dasar membantu tapi kalau benar itu akan terjadi haruskah aku melanggar perjanjian. Bagaimana dengan Faizal nanti. Adakah lelaki itu pernah terfikir apa yang aku fikir sekarang. Matanya memerhatikan Faizal yang sedang berbual dengan seorang gadis. Bilik mereka yang bertentangan memudahkan dia melihat apa yang berlaku dalam bilik Faizal. Dia kenal dengan gadis itu. Mereka berpegangan tangan. Entah apa la yang dibualkan. Seketika dilihat Faizal mencium jemari gadis tersebut. Dia tersentak..

“Siapa tu?”, di hampiri Faizal yang berdiri dipintu bilik ketika lelaki itu menghantar gadis tersebut keluar pejabat. Matanya masih lagi pada lenggang lenggok gadis tersebut. dIcebiknya bibir. Sakit matanya melihat gaya gadis tersebut berjalan macam itik pulang petang je.

“Sherina”, Faizal sengih. Begitu bangga dia menyebut nama gadis tersebut.
“Dah lama kenal?”, Dia menoleh pada Faizal yang masih lagi memerhati lenggang Sherina.
“Baru je seminggu”, jawabnya pendek. Tersedar dirinya diperhatikan, pantas dia menoleh pandang pada Suraya.
“Baru seminggu, dah pandai bertandang sampai dalam bilik. Hebat!”, Faizal cuma tersengih. Digaru kepalanya yang tak gatal.
“Baik-baik jangan sampai tersalah pilih”, gadis itu memberikan amaran padanya. Dia mengerling pada Suraya di sisinya.
“Come on Sue. Kan aku dah kata aku nak cari yang macam kau”,
“Bertahun pun kau tak akan jumpa orang macam aku. Seribu dalam satu tau”, Suraya mencebik bibir. Faizal ketawa.
“Carilah yang elok sikit. Sedap mata memandang”, perlahan suara Suraya masuk ke dalam telingannya.
“Why?. Kau tak suka ye”, soalnya pada sigadis.
Suraya terdiam. Sakit matanya melihat gadis yang dikatakan dek Faizal. Sherina!. Suraya mendengus. Bukan aku tak kenal Sherina tu, budak bank dihadapan office mereka. Setiap petang mesti budak perempuan tu ada depan bus stop. Nak apa lagi kalau bukan nak jual muka kat Faizal. Dengan baju dan seluar ketat dah macam jadi pakaian rasmi. Jelik matanya melihat tingkah laku perempuan tersebut bila disamping Faizal. Rasa macam nak muntah pun ada.
“Kalau kau tak suka aku cari yang lain?”.
“Berapa ramai yang kau nak cari?”. Tajam matanya memandang Faizal.
“Entahlah..sampai aku jumpa yang betul-betul berkenan kat hati aku ni. Kau dah dapat yang steady ke?’, Suraya menggeleng kepala. Dua bulan sudah dia menjadi tunangan Faizal tapi masih belum mencari lelaki yang sesuai untuk dirinya. Tak seperti Faizal yang tak jemu memburu mana-mana perempuan yang berkenan dihati. Kadangkala dia terfikir untuk tidak mencari lelaki lain. Sekilas di teringatkan cincin berlian yang diletakkan dalam laci dan serentak itu juga dia teringatkan kata-kata Wan Adli. Perlu ke aku ceritakan pada Faizal tentang Wan Adli?.

Fail yang bertaburan disusun satu persatu. Mana pulak cek ni?. Di angkat helaian kertas dan buku-buku diatas meja. Mati aku kalau cek tu hilang. Due date minggu depan. Kalau tak jumpa mahu Faizal mengamuk.
“Sue, Faizal nak jumpa sekarang”, Wajah Najwa tersembul dimuka pintu. Dia mula gugup. Cek yang dicari masih tak dijumpai. Bergegas dia menuju kebilik Faizal.
“Kan ke aku dah suruh simpan elok-elok. Next week kontraktor datang minta payment. Cek hilang kita nak hulur dengan apa?”,
“Aku rasa aku dah bagi kau”. Puas diingati di mana cek berkenaan diletakkan. Seingatnya cek tersebut dah diserahkan pada Faizal.
“Kalau dah bagi tentu aku tak payah suruh kau cari”, Suara Faizal meninggi.
“Nanti aku cari balik. Aku betul-betul lupa”,
“Aku nak kau cari sampai dapat. Kalau terpaksa stay back sampai malam stay jugak”, Suraya kecut melihat wajah Faizal yang sedang marah. Telefon berdering.
“Hello..emmm..ye ok malam ni I jumpa you tempat biasa”, Suraya mencebik. Mesti perempuan kalau tak kenapa suara yang kasar tiba-tiba boleh lembut. Jeliknya aku dengan lelaki ni. Dia cuma menanti arahan seterusnya tapi Faizal masih sibuk berbual ditelefon. Penat menunggu dia terus keluar dari bilik itu dengan penuh cemuhan di dada. I sayang you la...janji sayang you seorang la..eiii nak muntah aku rasa. Perempuan mana la yang dia layan agaknya.
“Kenapa mengomel sorang-sorang?”, Najwa yang berselisih dengannya berhenti menegur.
“Tak ada apa lah”, dia cuba tersenyum.
“Tak kan abang sayang sendiri marah pun nak simpan dalam hati”
“Kerja tetap kerja ok tak masuk hal peribadi”. Terus dia berlalu meninggalkan Najwa.Kalau betul dia abang sayang aku pun tak ingin aku nak merajuk macam ni. Bibirnya terus mengomel.

Matanya semakin berat. Digosok mata berkali-kali. Emm...kalau pekena milo mesti hilang ngantuk. Mug merah bercorak hati itu dicapai. Kakinya berlenggang menuju ke bilik kecil yang dijadikan kafe tempat untuk membuat minuman. Ramai kakitangan yang dah balik. Ada seorang dua je yang belum balik. Faizal?. Mamat tu pergi berdating dengan perempuan yang telefon dia petang tadi la agaknya. Lampu bilik dipasang. Dibuka paip untuk mencuci mug. Cerek yang terletak diatas meja di isi air. Siap plug dipasang dan suis ditekan. Sementara menunggu air masak baik aku pergi toilet kejap. Dibasuh muka untuk menghilangkan ngantuk. Air dah masak agaknya. Sambil berjalan dia bernyanyi kecil. Aik! Mana milo aku?. Tadi ada atas meja ni. Takkan kena curi kot. Diperiksa persekitaran kafe. Cerek berisi air panas elok terletak di atas meja. Tak ada tanda-tanda kafe ini diselongkar. Hatinya mula cemas. Dia teringatkan cerita-cerita lama yang pernah diceritakan oleh staf-staf pejabat ini. Badannya mula mengigil. Cepat-cepat ditinggalkan kafe dan terus menuju kebiliknya. Dua orang staf yang bekerja tadi dah tak ada. Dah balik agaknya. Di lajukan langkahnya untuk cepat sampai kedalam bilik. Pintu besar ditolak.
“Milo”. Satu suara mengejutkan dirinya.
“Aaaaaaaa...”Suraya menjerit.
“Hei kenapa ni....aku la”,
Dia memalingkan mukanya. Sebiji mug yang masih panas berada ditangan Faizal. Dia mengurut dada. Nasib baik aku bukan jenis kaki melatah. Kalau melatah silap hari bulan Faizal basah kuyup ditumpahi air milo panas.
“Lain kali bagi la salam”, ngomelnya sedikit marah. Faizal ketawa mengekeh.
“Cutenya muka kalau marah”, Suraya jelir lidah. Lelaki itu masih ketawa. Disambutnya mug dari tangan Faizal.
“Patutlah milo aku hilang kau yang curi”,
“Bukan curi la aku tolong je. Tadi masa aku lalu sana air berbunyi dah masak, aku tutup la lepas tu nampak pulak mug kau. So aku tolong la buatkan”,
“Really?..terima kasih banyak-banyak. Aku tak ada duit seposen nak bagi kau”,
“Seposen?. Kedekut betul”, Suraya ketawa mengekeh. Perlahan-lahan dihirup milo panas. Terasa sedikit kesegaran dimatanya.
“Dah pukul lapan kenapa tak balik lagi?”,
“La...aku cari cek tu la. Tak besok kau marah aku pulak. Kalau terpaksa stay back sampai malam stay jugak”, dilakonkan semula gaya Faizal memarahinya.
“Cek tu ada kat aku. Soryy la aku tak cari betul-betul”,
“Ha..cis! kenapa tak bagi tahu awal-awal penat je aku duduk sini sorang-sorang. Dah la tu sunyi pulak”,
“Sorry ok”, Faizal meminta maaf.
“Lain kali cari betul-betul baru boleh marah orang. Tak sakit dada aku ni tengok kau marah macam tu”,
“Ok minta ampun, janji aku tak buat lagi”, Suraya muncung bibir. Faizal beralih mengambil tempat dikerusinya. Ditekan key boards. Dia cuma diam memerhati. Entah apa la yang dibuat agaknya. Sisa milo diteguk habis. Sekilas dipandang muka Faizal.
“Kau tak ada date ke malam ni?”, Faizal menggeleng. Matanya kini tertumpu pada game dalam skrin komputer.
“Yang call kau petang tadi tu siapa. Bukan main aku tengok”,
“Kawan”, jawabnya sepatah.
“Kawan apa macam tu. Geli telinga aku dengar kau bercakap. Sayang la, rindu la, sayang you sorang la. Uwekk!!”, Faizal tersengih melihat Suraya. Kalau boleh nak ditariknya pipi gadis itu kerana banyak menyindirnya hari ni. Suraya keluar membawa mug. Kemudian kembali kedalam bilik. Dicapai tas tangan.
“Nanti jangan lupa tutup komputer tu”, dia memberi arahan pada Faizal yang masih lagi leka menatap komputer.
“Hei! Nak pergi mana?”, panggilan Faizal mematikan langkahnya. Niatnya untuk keluar dari bilik tersebut dibatalkan. Dia berpaling menghadap Faizal yang sudah berdiri mencekak pinggang.
“Nak balik la. Cek tu kan dah jumpa”
“Kau dah makan ke belum?”
“Belum”, Sejak dari tengahari tadi perutnya kosong tak sempat di isi dek kerana sibuk mencari cek yang hilang.
“Ok wait...kita pergi makan sama-sama”, Suraya senyum. Cepat-cepat Faizal menutup suis komputer dan lampu. Mereka beriringan meninggalkan pejabat.

Kereta yang melalui jalan semakin banyak. Dia yang berada disebelah Faizal teragak-agak untuk melintas. Sesekali dihalang matanya dengan tangan kerana terkena silau lampu kereta yang lalu lalang. Tanpa sedar tangannya memegang lengan baju Faizal.
“Jom lari”, gesa Faizal dan sepantas itu dia berlari mengekori langkah Faizal. Tangannya masih memegang lengan baju lelaki itu. Fuh! Selamat. Ada satu jalan lagi yang perlu dilintasi. Kenapa la dia orang ni tak buat jejantas kat sini. Dah la baru lepas hujan. Basah-basah kain aku. Dia membebel sendiri. Dibelek hujung kain yang basah.
“Jom”, Faizal menarik tangannya melintasi jalan besar. Sampai diseberang jalan Faizal masih memegang tangannya.
“Kita duduk sana nak. Ada privacy sikit”, Dia cuma mengangguk. Lelaki itu menariknya ketempat yang dimaksudkan. Kegugupan tiba-tiba datang dalam dirinya. Matanya meliar terasa orang sekeliling seolah memandangnya. Dia malu tangannya masih dalam genggaman Faizal. Sampai di meja mereka mengambil tempat duduk. Dikesat pipinya yang basah dek air hujan.
“Mari sini”, sekali lagi dia menjadi tak tentu arah bila lelaki itu menyentuh wajahnya dengan tuala kecil. Terasa jemari Faizal sejuk menyentuh pipinya. Anak matanya bertembung dengan mata Faizal. Lelaki itu senyum. Terasa senyum yang terbit dari bibir Faizal adalah senyuman yang paling manis pernah dirasakan. Perasaannya seperti disentuh...ada sesuatu yang lembut meresap dalam hatinya.
“Nah! Ambik ni balik basuh. Basuh wangi-wangi lepas tu bagi kat aku balik”, Suraya tersentak. Entah berapa lama dia khayal merenung lelaki itu. Terasa mukanya panas menahan malu.
“Faizal...kau dengan aku ni kawan kan?”, soalnya perlahan.

“Yup..kenapa?”, Faizal menjawab bersahaja sambil tangannya mengusap rambut yang sedikit basah ditimpa hujan.
“Kalau kawan kenapa senang-senang kau pegang tangan aku tadi?”, pantas Faizal menoleh padanya.
“Aik! Suka hati aku la nak pegang. Abis kau pegang baju aku tu tak pe”,
“Aku ni kan ke perempuan. Memang la takut nak melintas sendiri”,
“Ye ke? Tu sebab aku pegang kau. Kau kan tunang aku”, senyuman nakal terbit dibibirnya.
“Macam la aku ni tunang kau betul”, Suraya jelir lidah.
“Okey kita kawan”, Sekali lagi Faizal mengenggam jemarinya. Suraya tergamam ingin dia menjerit marah tapi semua tidak tidak mampu dikeluarkan bila seorang pelayan datang mengambil pesanan."

No comments: