Bantal kecil dipeluk erat, hatinya teringatkan Zairul...jatuh cintakah aku?. Semalam dia berbual dengan Zairul dan genap seminggu mereka sudah keluar bersama. Suraya akui dia cukup suka berkawan dengan Zairul.
“Awak pernah bercinta?”, Suraya mengelengkan kepala. Nak bercinta dengan aku ke?.
“Saya baru saja putus cinta”, perlahan Zairul berkata tapi masih dapat didengar dek Suraya.
“Ye ke...patut la macam muka frust menonggeng je. Macam mana boleh jadi macam tu?”, Zairul beralih tempat duduk di sebelah Suraya sambil matanya menyorot menyapu pemandangan laut Cina Selatan. Suraya mengensot sedikit dari duduknya untuk memberikan ruang duduk pada Zairul.
“Dia berkahwin dengan orang lain. 4 tahun berkawan rupanya masa dia berkawan dengan saya dia dah bertunang”,
“Awak kecewa?”, Zairul mengelengkan kepala.
“Dah tak ada jodoh”, hambar jawapannya. Suraya tersenyum. Itu lah tabahnya orang lelaki bercinta. Cukup senang menerima hakikat berbanding perempuan. Sikit-sikit menangis sehingga lebam biji mata. Suasana sepi seketika.
“Saya suka berkawan dengan awak”, tiba-tiba suara Zairul memecahkan kesunyian.
“Ye ke..saya pun suka juga. Awak tak mahu cari penganti?”, tanyanya sekadar untuk menduga.
“Belum buat masa ni. Saya serik!”,
“Tak baik macam tu, bunga bukan sekuntum”, dicubanya lagi menduga hati lelaki itu. Zairul hanya diam membisu.
“Awak nak tahu...nama dia lebih kurang dengan nama awak, Surya”,
“Ooo...jangan awak samakan saya dengan dia sudahlah”, Suraya ketawa.
“Awak kawan saya, kalau iya pun awak marah ke?’, persoalan Zairul membuatkan tawanya terhenti. Ada maksud di sebalik kata-kata Zairul. Cepat-cepat dia bangun dari tempat duduk. Dia malu bila direnung begitu oleh Zairul.
“Sampai rumah jangan lupa call saya ye”, pesan Zairul. Suraya angguk dan bas meluncur meninggalkan Bandar Melaka. Hujan turun mencurah mengiringi angannya. Suraya tersenyum sendiri. Tak dipedulikan bila penumpang disebelah melirik ke arahnya. Mesti dia kata aku gila tersenyum sorang-sorang. Sampai sahaja di rumah, terus dia menerpa ke arah telefon. Di dail nombor telefon Zairul yang sememangnya sudah terpahat dalam kepalanya.
“Hello....Zairul ada?”, sebaik gagang diangkat pantas mulutnya bersuara.
“Siapa ni? Ada hal apa nak bercakap dengan dia?”, Suraya terdiam seketika. Suara garau perempuan yang menjawab panggilan itu menekan perasaannya. Ibu Zairul ke?.
“Tak ada hal penting makcik, *****a nak bercakap sahaja”,
“Kalau tak ada hal penting tak payah la bercakap. Cakap aje dengan makcik”,
“Zairul ada ke?’, soalnya semula.
“Dia ada tengah tengok tv. Makcik malas nak ganggu dia. Lagipun dia penat agaknya sebab baru balik tadi”, Suraya diam. Memang la penat sebab dia baru keluar dengan aku tadi. Takkan nak cakap sekejap pun tak boleh.
“Saya nak cakap sebentar boleh?”, Suraya cuba meminta keizinan, mana tahu kalau-kalau wanita itu tergerak hati untuk memanggil Zairul.
“Cakap aje dengan makcik. Makcik tak nak kacau dia”, suara wanita itu sedikit tegas.
“Tapi Zairul yang suruh saya call dia”, Suraya cuba memberi alasan kukuh, berharap sangat agar ibu Zairul membenarkan Zairul bercakap dengannya.
“Dah lama berkawan?”, giliran wanita itu menyoalnya.
“Baru”, Suraya dah mula tak senang hati. Cara soalan itu ditanya membuatkan dirinya rasa tak senang duduk.
“Kamu orang mana?”,
“Seremban makcik”, sepatah dia menjawab. Ada sedikit ketegangan dalam suara wanita tersebut.
“Kerja apa?’, suara itu menyoalnya lagi.
“Kerja kilang saja makcik”, Suraya jawab perlahan. Hatinya sedikit terguris dengan pertanyaan itu. Dia mula sedar ibu Zairul seperti tidak menyukainya.
“Makcik tak suka Zairul berkawan dengan orang sembarangan. Emm...apa yang nak di cakapkan dengan Zairul tadi?’,
“Tak apa lah makcik. Kirim salam saya pada Zairul. Assalamualaikum!”, Tanpa mendengar wanita itu menjawab salam, gagang telefon telah diletakkan. Ibu Zairul ke tadi?. Hatinya di serang gelisah. Apa maksud kata-kata ibu nya tadi?. Dia tak suka aku atau dia memang tak suka Zairul berkawan. Atau pun dia memandang rendah perempuan kilang seperti aku. Menitik setitis air matanya. Suraya masuk ke dalam bilik. Di ambilnya buku kecil dalam laci. Tiket yang waktu dulu tertulis nombor telefon Zairul, dikeluarkan dan di campak keluar tingkap. Tiket itu basah ditimpa hujan. Kalau itu yang ibunya nak...cukup sekali itulah panggilan terakhir aku untuk Zairul.
Laila menghampiri gadis yang duduk berteleku dibawah meja. Ada sesuatu yang tak kena pada Suraya. Sejak pagi tadi diperhatikan Suraya yang selalunya gembira tapi hari ini gembiranya lain dari hari-hari biasa. Cara Suraya ketawa dan bergurau membuatkan hatinya risau. Tadi bukan main suka, alih-alih terperosok kat bawah meja sorang-sorang.
“Boleh akak tau apa masalah hari ni?”, Suraya dikejutkan dengan kehadiran Laila. Di anjakkan sedikit punggungnya memberi ruang untuk Laila duduk disebelahnya.
“Saya ok”, jawabnya sepatah. Laila tersenyum. Kalau dah begitulah jawapannya memang sah budak ni ada masalah.
“Akak tahu kau ada masalah. Hari ni kau ketawa lebih-lebih, itu tanda kau ada masalah. Akak bukan kenal kau satu hari tapi dah lama”, Suraya menoleh pada Laila disisi. Mengenali Laila selama dua tahun cukup membuatkan dia rapat dengan gadis berusia 28 tahun itu. Sejak hari pertama kakinya menjejaki ke kilang ini, dia menjadi teman Laila. Sejak itu juga segala isi dihatinya dikongsi dengan Laila. Dia tak boleh menipu atau berpura dengan Laila.
“Zairul!”, Perlahan nama itu diungkap.
“Ha.. apa khabar dengan budak tu?”, Suraya tertunduk. Satu persatu apa yang terpendam dihatinya diluahkan pada Laila. Laila tunduk membisu seketika.
“Entahlah Sue, kalau itu yang dah kau rasa akak tak boleh nak halang. Tapi cuba la lupakan”, Suraya menggelengkan kepala. Walaupun perkenalan dengan Zairul tak sampai sebulan. Namun nama lelaki itu sudah semacam terpahat dihatinya.
“Saya sayangkan dia”, Hanya itu yang mampu diluah. Entah kenapa begitu cepat dia menyayangi Zairul sedangkan mereka baru mengenali diri masing-masing.
“Tapi Zairul tahu ke kau sukakan dia?”, Suraya geleng. Dia tak pasti lelaki itu mempunyai perasaan sama seperti dirinya atau tidak.
“Kau dengan Zairul baru nak bermula . Kalau ditinggalkan pun tak ada kesan apa-apa. Masing-masing belum meluahkan. Cuba la Sue...cuba terima orang yang menanti kau”, Suraya geleng. Hatinya tak rela menyingkirkan Zairul dari kamus hidupnya. Zairul semacam serasi dengan dirinya.
“Siapa yang menunggu?”,
“Zairi...dari dulu akak tengok dia bersungguh-sungguh nak kan kau. Cuba la terima dia. Sekurang-kurangnya dapat lupakan Zairul!,” Zairul!. Sekali lagi nama itu diungkap perlahan. Hatinya sebak. Nama itu yang mungkin hanya akan tinggal nama. Haruskah aku melupakan dia yang dah aku sayangi.
“Kau sakit ke?”, Seha, kakak sulungnya menyapa ketika dia tengah duduk diruang tamu. Digelengkan kepalanya.
“Semalam abang long kata kau muntah-muntah. Dah pergi klinik?”, Suraya angguk kepala. Semalam pulang dari kerja kepalanya pening. Doktor kata perutnya kosong.
“Aku ingat kau mengandung”, Pantas Suraya menoleh pada wajah kakak sulungnya itu. Seha hanya tersenyum.
“Kenapa fikir sampai ke situ?”, soalnya penuh keraguan.
“Along gurau je. Budak zaman sekarang semua dah pandai. Macam-macam boleh jadi kalau tak pandai jaga diri”, Suraya diam. Memang dia dengan Zairi dah terlalu lama berkawan tapi itu bukan syarat dia boleh diperlakukan.
“Sue....along rasa elok kau cari rumah lain sementara along nak bersalin ni”, Kakak sulungnya itu memberi pendapat. Suraya tunduk, diam faham dengan tujuan Seha. Memang kalau di ikutkan hatinya tak mahu lagi duduk dirumah ini.
“Along bukan nak menghalau kau tapi apa orang kata bila along takde nanti kau tinggal berdua je dalam rumah ni. Orang lelaki ni bukan boleh percaya sangat”,
“Nanti Sue cuba cari rumah lain”, Along angguk. Semalam selepas balik dari kerja dia dengar bunyi bising dari bilik along. Bila di amati betul-betul rupa-rupanyanya along bergaduh dengan suaminya.
“Abang Long pukul kau lagi ke?’, Suraya menyentuh pipi Seha. Seha diam. Dilarikan pipinya dari disentuh jemari Suraya. Semalam mereka bergaduh besar hanya kerana masalah kewangan dan Suraya dijadikan punca. Akibat dari mempertahankan adiknya, dia menerima satu penampar dipipi.
“Suraya tu dah rosak. Aku tau Zairi yang rosakkan dia”,
“Abang tak elok menuduh adik saya macam tu”,
“Kau adik beradik sama je. Tak boleh pakai. Keturunan tak elok”,
“Abang tu baik sangat. Kalau tak kerana bapa saya abang masuk penjara tau tak”,
“Kau tak payah ungkit cerita lama tu. Adik kau tu jaga sikit. Aku dah tak nak dengar apa-apa cerita pasal dia lagi. Merayau sampai tengah malam buta dengan jantan. Aku bagi duduk sini dia buat hal pulak. Minta duit rumah lebih tak nak bayar, melawan pun dah pandai”,
“Dia adik saya, saya tahu macam mana nak menjaga dia”,
“Tau nak menjaga konon. Entah-entah dah mengandung. Kau dengan adik kau sama je”,
“Abang tu baik sangat ke?”, Seha separuh menjerit.
“Melawan suami ye!”, tanpa sedar satu tamparan hinggap di pipinya. Bukan satu tapi dua dan tiga. Seha terjelepuk ditepi katil.
“Along”, Seha tersentak, kejadian malam tadi hilang dari kotak fikirannya. Dikesatnya air mata yang mengalir.
“Kita bagi tahu mak”, Laju Seha menggeleng kepala tanda tidak setuju dengan cadangan Suraya. Dia tak mahu mak mengetahui tentang rumahtangganya. Sejak awal perkahwinan lagi hubungan ini tak direstui. Kalau bukan kerana adik kepada ayahnya yang membantu, mungkin dia tidak mengahwini Razuan, suaminya sekarang.
“Sue carilah kawan-kawan menumpang sementara. Kalau nak along boleh carikan tapi lagi elok kalau kau cari kawan sendiri” Suraya merenung wajah kakak sulungnya itu yang sedang hamil. Dalam keluarganya Seha yang paling cantik berbanding dengan kakak keduanya Sofia, dirinya dan adiknya Sarah. Dia tak pasti atas sebab apa tiba-tiba Seha berkahwin. Ketika itu dia masih belajar di tingkatan 5. Dia bersekolah di Selatan dan sibuk dengan peperiksaan. Dia tak pernah ambil pusing tentang kakak sulungnya itu. Apa yang dia tahu ayahnya hampir-hampir bertumbuk dengan abang iparnya Razuan pada malam kakaknya terpaksa dinikahkan.
“Along pun dah nak sampai hari ni. Daripada kau duduk bersama, orang pandang lain nanti. Elok kau pindah sementara. Lagipun benda buruk ni elok difikirkan sekarang sebelum jadi apa-apa”, Suraya angguk. Dia mengakui kata-kata Seha. Bukan sekali dua abang iparnya tersalah menyangka dirinya Seha. Mungkin kerana wajah mereka hampir seiras, ramai yang terkeliru yang mana satu isteri Razuan.
“Kau duduk aje kat rumah aku. Lagipun Azizah nak kahwin. Barang- barang semua dia dah angkut. Dari kau duduk sementara aku rasa elok kau duduk terus”,
“Tapi along aku siapa nak jaga?”,
“Suami dia kan ada. Aku rasa elok kau duduk sewa daripada kau duduk rumah dia macam rumah sewa. Sebulan kena bayar sampai $200. Aku ni dah bertahun duduk rumah sewa pun tak kena bayar macam tu ini kan pulak adik-beradik, takkan nak berkira jugak”, Suraya diam. Ditelannya setiap bait kata Aina. Dah hampir dua tahun dia duduk bersama kakaknya. Apa salahnya kali ini dia berdikari. Sekurang-kurangnya dapat meringankan beban kakaknya dan yang penting memperbetulkan pandangan orang terhadap dirinya.
“Aku nak kau angkut semua barang-barang kau ni jangan tinggal satu pun. Lagi satu, kau jangan jejakkan lagi kaki kat rumah ni”, pekikan Razuan memenuhi ruang tamu rumah batu tersebut. Seha semakin gelisah melihat perlakuan suaminya.
“Abang...takkan sebab tu pun abang nak marah. Suraya dah besar biar lah dia buat keputusan sendiri. Lagipun Seha sendiri suruh dia cari rumah lain”, Seha cuba membela Suraya. Anak mata Razuan tajam merenung wajah isterinya itu.
“Aku nak dia pindah sementara bukan pindah terus. Awak tengah macam ni dia sanggup tinggalkan awak. Memang dasar pentingkan diri sendiri”,
“Abang jangan buat macam ni. Hari dah malam ni”, rayu Seha.
“Tapi aku nak dia keluar hari ni jugak. Aku nak dia berambus. Aku tak nak tengok muka dia lagi. Biar la malam pun, pandai-pandai la nak keluar”,jerita Razuan. Dum!!!. Razuan menghempaskan pintu bilik. Suraya tersentak. Air matanya bergenang. Perlahan dimasukkan barang-barangnya kedalam kotak. Telinganya masih dapat mendengar butir-butir pergaduhan kakak dan abang iparnya didalam bilik. Bukan niatnya nak meninggalkan along yang sedang sarat. Seboleh-bolehnya dia tak mahu berbuat demikian tapi apa kan daya, hatinya dah berulang kali terguris dengan sikap abang iparnya Razuan. Tuduhan melulu Razuan padanya ditelan dalam hati. Pintu bilik terkuak sedikit. Terjenggol kepala Seha.
“Tak boleh tunggu siang ke?”, Suraya diam. Dilihat mata Seha merah akibat menangis. Dia tahu kakaknya itu mesti ditampar sekali lagi kerana mempertahankan dirinya. Suraya sebak.
“Kejap lagi Zairi sampai. Sue kena keluar, nanti abang long mengamuk lagi”, Seha menahan sendunya. Kedengaran pintu belakang diketuk orang. Suraya bergegas membuka pintu. Terpacul wajah Zairi dengan dua orang lelaki disisi lori kecil. Dihulurnya satu persatu kotak pada Zairi untuk diletakkan dalam lori. Sekilas dipandang bilik yang dihuni dua tahun lalu, kosong dalam sekelip mata. Seha masih duduk ditepi pintu bilik. Lori kecil tadi telahpun berlalu meninggal mereka. Zairi sudah bersedia diatas motor menanti Suraya. Suraya menghampiri Seha. Diraihnya tangan Seha dan dicium perlahan. Seketika Suraya ditarik dalam pelukan Seha. Mereka menangis. Zairi diluar hanya mampu memandang sambil menghisap rokok.
“Macam mana sekalipun hubungan kita adik beradik takkan putus”, Suraya angguk. Diciumnya pipi Seha.
Nasi di depan mata dikuis perlahan. Dipandang wajah dihadapannya. Zairi yang dari tadi tak henti merokok. Wajah Zairi yang hitam manis, janggut yang menjalar, hampir menutupi dagu dan pipinya. Dua tahun lalu Zairi bukanlah pilihan hatinya. Entah kenapa perhubungan itu menjadi rapat. Mungkin ketika itu dia kecewa dengan sikap ibu Zairul. Tambahan pula dengan masalah yang dihadapi dengan kakaknya. Ketika itu dia memerlukan seseorang untuk berkongsi masalah dan hanya Zairi yang sering berada disisinya. Lantas lelaki itu diterima dengan rela. Tanpa sedar hubungannya bersama Zairi sudah menjangkau hampir tiga tahun.
“Dah habis?. Jom kita jalan pulak”, Suraya angguk. Di ekori langkah lelaki itu. Fikirannya berkecamuk.
“Apa yang tak kena ni?”, Zairi mengenggam jemari Suraya saat mereka jalan beriringan di persisiran pantai Port Dickson.
“Saya ada perkara nak bagi tahu awak”, Zairi menarik tangan Suraya menuju kearah bangku yang berdekatan.
“Hal penting ke?”, tanya Zairi. Suraya diam. Terasa kerongkongnya tersekat untuk diluahkan.
“Bila awak nak pinang saya?”, Dia benci untuk menyoal Zairi dengan soalan itu. Dia jemu untuk menerima jawapan yang sama. Dan dia pasti jawapan yang diterima sama seperti dulu. Lelaki itu masih menghisap rokok yang entah ke berapa batang, Suraya sendiri tidak pasti.
“Bukan saya tak nak pinang awak. Awak kan tahu saya tengah cari kerja sekarang ni. Kalau ada duit, jangan kata esok, sekarang jugak saya pinang awak”, Suraya diam merenung pasir pantai. Dia sedar Zairi baru saja diberhentikan kerja. Sekarang Zairi bekerja sebagai operator kilang. Suraya mengetap bibir. Dia teringatkan kata-kata mak sewaktu pulang ke kampung dua hari yang lalu.
“Kau dengan Zairi tu bila lagi. Berkawan dah lama, berkepit pun dah selalu. Gaya nak berkahwin tak juga”,
“Belum cukup duit mak”,
“Sampai bila nak tunggu duit tu cukup kalau tak usaha. Mak tak minta kau orang kahwin terus, cukup je kalau bertunang dulu. Kurang-kurangnya kemana pergi bila orang bertanya senang sikit nak menjawab. Kau tengok adik kau si Sarah tu. Tahun depan dia nak naik pelamin. Kau tak terasa ke bila orang bertanya itu ini pasal kau. Dah tu pulak ramai yang tahu kau berkawan dengan Zairi tu”,
“Kenapa mak mendesak sangat. Kalau Zairi tu banyak duit pun orang bukan nak kahwin sekarang”.
“Mak bukan apa, Makcik Zaimah tu asyik bertanyakan kau untuk anaknya si Kamarul tu. Kalau tak dikenangkan kau berkawan dengan Zairi tu, dah lama mak terima Kamarul”,
“Belum sampai jodoh nak buat macam mana”,
“Asyik-asyik kau kata belum sampai jodoh. Kalau tak di usaha mana nak datang jodoh tu",
“Suka hati mak la yang orang tahu sekarang orang tak mahu kahwin”, Suraya bingkas meninggalkan ibunya Rafeah yang masih duduk menonton televisyen. Terbayang wajah adiknya Sarah. Sarah baru berusia 22 tahun dan masih belajar. Tunangan Sarah pemuda dari Perak itu tua setahun darinya. Entah di mana mereka bertemu dia tak pernah ambil tahu. Masa pertunangan dulu pun dia tak sempat untuk pulang. Ketika itu dirinya berada di negeri Selatan kerana tugas penting. Suraya mengeluh...bukan dia tak pernah terfikirkan soal jodoh. Bila mengenangkan usia yang semakin menjangkau jauh, dan bila terkenangkan rakan-rakan sebaya yang sudah mempunyai dua atau tiga anak, hatinya meronta-ronta untuk berkahwin cepat. Hubungannya dengan Zairi dah terlalu lama hampir mencecah 3 tahun. Bukan dia tak pernah menyuarakan hasrat untuk berkahwin pada Zairi. Tapi setiap kali ditanya, itu juga alasan yang diberikan oleh Zairi, ekonomi belum kukuh. Dia hanya mampu membisu bila jawapan itu di beri. Dia faham keadaan Zairi yang baru mula bekerja setelah 1 tahun menggangur. Dia malu dengan Sarah dan saudara mara. Masing-masing sudah kenal dengan Zairi. Kemana pergi mesti berdua tetapi hubungan secara rasmi tetap tak ada. Dia masih lagi boleh menunggu, tapi bila dikenangkan, kadang-kadang hatinya mula bosan dengan sikap Zairi.
Buku-buku lama yang tersimpan dalam laci dikeluarkan. Disapu habuk yang melekat dengan kain buruk. Hari ini hari minggu, Aina dah keluar dengan teman lelakinya, Shamsul. Sengaja dikemaskan almari yang dah lama tak dibuka. Helaian kertas yang tak digunakan dicampak kedalam tong sampah. Matanya terlekat pada satu buku kecil berwarna biru yang jatuh di atas lantai. Diselak helaian-helaian buku kecil. Senyum terukir dibibir, senarai nama dan catatan ringkas tentang sahabat dan kenalannya masih kekal dalam buku kecil itu. Dulu dia rajin mencatat tapi sekarang buku itu telah lama ditinggalkan. Matanya membaca tiap nama yang tercatat dalam buku kecil tersebut. Tiba-tiba bola matanya terhenti pada satu nama, Zairul!. Dia lupa masa bila dia mencatat butiran Zairul dalam buku tersebut. Terimbas kembali tiket bas yang dicampak keluar dari biliknya dulu. Matanya bergenang. Dipeluknya buku kecil kedada. Dia menoleh pada kalendar di dinding. Hari ni 14 April, bermakna hari ini ulangtahun kelahiran Zairul. Kakinya terus berlari keruang tamu. Diraih telefon keatas ribanya. Masih adakah dia disana?. Dia masih ingat aku kah?. Untuk apa menghubungi dia?. Sebagai kawan. Kalau mak dia marah macam mana?. Digarunya kepala yang tak gatal. Ditarik nafas dalam-dalam. Jemarinya menekan digit-digit nombor yang ada pada telefon. Dalam debaran dia menunggu talian di angkat.
“Hello..Zairul ada?”, perlahan suaranya bertanya bila mendengar suara di hujung talian.
“Sekejap”, talian sunyi seketika. Mungkin sedang memanggil Zairul. Ya Allah, dia masih
ada. Suraya memejamkan mata. Siapa yang menjawab panggilan tadi?. Mak dia agaknya. Tapi tak banyak pula soal macam dulu?. Apa aku nak cakap dengan Zairul ni?.
“Hello!”, Suara garau menerjah ke gegendang telinganya. Hatinya bergetar. Suara yang teramat dirindui.
“Hello...Zairul”, berhati-hati dia menutur kata.
“Iye saya. Siapa ni?”,
“Saya kawan lama awak”, dia menahan debar didada.
“Kawan lama?. Nama apa?”, Suraya tersenyum. Bodoh betul aku ni, macam la aku sorang kawan dia dalam dunia ni.
“Saya Suraya, ingat lagi tak?”, Talian sunyi seketika.
“Suraya? Ingat-ingat..haa..apa khabar?”, Suara yang tadi semacam marah bertukar menjadi ceria.
“Mana awak hilang?. Kenapa tak cukupkan dua tahun baru telefon saya?. Macam orang gila saya cari awak tau tak”, Suraya ketawa. Zairul turut ketawa. Semacam peluru soalan yang Zairul tujukan kepadanya. Entah yang mana satu perlu dijawab.
“Soalan mana satu yang saya kena jawab dulu ni?”, Zairul ketawa lagi. Dia sedar gadis itu terkejut dengan soalan bertubi-tubi darinya. Tapi itulah yang memang nak diluahkan sejak Suraya hilang dari hidupnya. Suraya hilang tanpa berita, tanpa pesan. Bertahun dia mencari tapi hampa.
“Apalah tuah saya hari ni awak telefon. Baru semalam saya sebut nama awak”,
“Sebut nama saya, mengumpat ye”, Suraya ketawa.
“Taklah rindu”, Tawa Suraya terhenti. Kini giliran Zairul pula ketawa. Dia pasti Suraya terkejut dengan jawapan spontan darinya. Tapi ketahuilah Suraya memang itu yang aku rasakan sejak dua tahun lalu.
“Apa cerita awak sekarang ni, masih kerja tempat lama lagi ke?”,
“Masih macam dulu juga. Awak pulak apa cerita?”,
“Macam dulu juga”, Zairul menjawab dengan ayat yang serupa.
“Elee...tiru jawapan saya la tu”, Suraya mencebik bibir.
“Tak la saya rasa hati kita sama sebab tu jawapan pun sama”, Suraya ketawa lagi.
Ditahan rasa berdebar yang semakin kencang didada. Entah kenapa setiap bait ayat yang dituturkan oleh Zairul membuat jiwanya tak tentu arah.
“Kemana awak menghilang. Puas saya contact tak dapat?”,
“Saya pindah rumah. Tak sempat nak bagi tau awak. Emm..happy brithday to you. Yang keberapa ye?”, Zairul ketawa. Suraya binggung kehairanan. Kenapa?.
“Lupa-lupa awak, tapi awak ingat lagi birthday saya. Saya pun lupa hari ni hari jadi saya. Awak orang pertama yang ucap tau”,
“Betul?”, Suraya senyum. Kalau boleh aku nak jadi orang pertama dalam hidup kau Zairul. Tapi apa boleh buat.
“Awak dah kahwin”,
“Belum. Kenapa?”, Suraya bertanya .
“Mana tau saya mengganggu isteri orang pulak”, Suraya ketawa lagi entah yang keberapa kali. Aku kalau boleh sekarang juga nak kahwin. Tapi jodoh belum ada. Malam itu mereka berbual seperti dulu. Bunga-bunga kemesraan yang dulu hilang kini terbit kembali.
“Sekarang ni duduk mana?. Bagi la contact number senang besok saya cari awak. Tak la awak hilang lagi”, Suraya ketawa mengekeh. Hari ni hidupnya penuh dengan ketawa. Mungkin terlalu gembira dapat berbual dengan Zairul. Mendengarkan soalan Zairul membuat hatinya pilu. Memang itulah tujuannya menghubungi Zairul. Dirinya sendiri tak mahu lagi jauh dari Zairul. Sungguh!.
bersambung..."
Thursday, July 29, 2010
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment