Thursday, July 29, 2010

Yg Ku Mahu pt12

Kenapa setiap insan yang aku sayang pasti ada halangan yang mendatang. Kasih sayang yang berputik luput dengan tiba-tiba. Zairul datang tanpa aku pinta. Mewujudkan rasa sayang dihati dan pergi tanpa aku izinkan. Zairul pergi menghilangkan diri membawa cinta yang masih bersisa di hati. Kini Wan Adli hadir disisi tanpa aku sedari. Menyemai rasa kasih dalam hati dan bila sayang kian mula kukuh dia hilang menyepikan diri. Kemana Wan Adli?. Kenapa kau paksa hati ini menerima mu?. Kenapa ini yang mesti aku miliki?. Orang datang menabur janji dan hilang membawa sayang yang aku bagi.

“Sampai bila awak akan menyayangi saya?”,
“Selagi awak mengingati saya, selama itu juga saya akan menyayangi awak”,
“Walaupun saya dah kahwin?”,
“Selagi awak mengingati saya”, diulangnya ayat itu sekali lagi.
“Tak salahkan kalau saya menyayangi awak sebagai kekasih saya”, Suraya tersentak. Dipandangnya wajah Wan Adli disisi. Lelaki itu tersenyum.
“Awak sihat tak ni. Awak sedar tak apa yang awak cakap?”,
“Saya sedar dan saya bercakap ikhlas dari hati saya”,
“Awak mengkhianati isteri awak Wan Adli”, dia cuba menyedarkan akan status lelaki itu.
“Saya tak pernah mengkhianati dia. Saya cuma meluahkan apa yang saya rasakan sekarang dan saya tak memaksa awak menerima saya” Suasana sepi seketika. Suraya gigit bibir. Fikiran berputar.
“Cinta itu dah lama dalam hati kita, cuma kita yang tak menyedarinya”, Dikerlingnya wajah Wan Adli. Wajah lelaki itu tenang meluahkan setiap ayat dari bibirnya.
“Awak tak takut ke suatu hari nanti isteri awak akan tahu pasal ni?”, Wan Adli diam membisu. Terdengar keluhan keluar dari bibirnya.
“Saya dah fikir semua tu. Saya tak akan sekali-kali menyakiti dia. Saya cuma nak menyayangi awak. Salah ke?”,
“Tak salah tapi saya takut kalau satu hari nanti kehadiran saya akan menimbulkan masalah dalam rumahtangga awak. Saya tak nak semua tu jadi”,
“Saya akan pastikan semua tu tak akan jadi. Saya cuma nak awak bahagia . Saya tak nak awak menangis lagi kerana Zairul dan awak kena tabah dengan jalan hidup yang awak dah pilih”,
“Saya takut nak bermain perasaan lagi. Cukuplah dengan apa yang saya dah alami bersama Zairul dan Zairi. Saya tak nak berkhayal lagi”,
“Saya nak awak bahagia dengan orang yang awak sayang. Jangan ingatkan benda yang dah berlalu. Saya akan selalu disisi awak”,
“Apa guna kalau kita bercinta tapi cinta tu cuma dijiwa. Hakikatnya kita tak boleh bersama. Apa gunanya tu?”. Wan Adli mengeluh. Dia sedar kalau perhubungan ini dijalinkan hanya setakat ini dan tak akan boleh diteruskan kerana ada yang pasti menghalang.
“Kerana itu saja yang mampu saya lakukan untuk Suraya”, Suraya diam. Air matanya menitik. Dia tahu Wan Adli ikhlas untuk menyayanginya tapi sampai kemana hubungan ini akan berterusan.
“ Saya takut kalau saya terima saya akan kecewa satu hari nanti dan kata-kata tu hanya akan tinggal kata-kata”, Wan Adli tertunduk.
“Kita cuma mampu merancang dan saya akan cuba tak mengecewakan awak”, Suraya geleng kepala. Dia sedar dia akan kecewa juga. Menyintai suami orang bukanlah satu jalan yang mudah.
“Saya terlalu sayangkan awak Suraya”, Suraya diam. Kata-kata sama seperti yang Zairul luahkan bertahun yang lalu. Adakah lelaki ini akan hilang jua dari hidupnya nanti?. Air matanya menitis lagi.
Dia cuma memerhatikan bilik yang sunyi. Sesekali tangannya menekan key boards. Fikirannya kosong. Di tekan-tekan bebutang key board. Skrin komputer dipandang kosong. Berkali-kali dia cuma menghubungi Wan Adli tapi hampa. Semalam dihubungi Laila dan diluahkan semua yang ditanggung.
“Kau dah fikir masak-masak ke apa yang kau buat ni Sue?”,
“Sebab dah terlampau masak la saya sanggup terima dia”,
“Jangan main-main. Apa akan jadi bila isteri dia tahu besok. Lagi satu pasal Faizal tu. Kau tak fikir ke yang kau dah menipu semua orang. Aina tahu pasal ni?”,
“Tak...satu hari nanti dia mesti tahu jugak”. Talian sepi seketika.
“Entahlah”, dia mengeluh. Laila turut diam.
“Apa yang Wan Adli cakap tu memang betul. Mana tahu ditakdirkan kau betul-betul jatuh cinta pada Faizal”, Suraya ketawa. Digeleng-gelengkan kepalanya.
“Kenapa semua orang mesti cakap macam tu. Dalam hati saya ni ada dia saja”,
“Terpulang la pada kau Sue. Tapi akak nak tanya sikit. Kalau kau dah tahu perhubungan dengan Wan Adli tu tak berpanjangan kenapa masih nak terima dia jugak”,
“Sebab saya tahu cuma dia yang menyayangi saya”, Laila mengelengkan kepala.
“Ramai yang sayang cuma kau saja yang tak tahu. Buat apa mengharap benda yang belum tentu jadi milik kita. Anggap je lah dia sebagai kawan”,
“Saya tak mampu nak buat macam tu”,
“Sue..Sue..buktinya dah ada. Dah dua bulan dia tak hantar khabar pada kau. Tu pun kau masih nak mengharap lagi. Dia ada tanggungjawab lain Sue. Dia banyak komitmen untuk keluarga dia”,
“Mungkin dia sibuk itu sebab dia tak hubungi saya”,
“Susah kalau bercakap dengan orang angau ni. Suka hati kau la nak buat macam mana tapi satu je akak nak pesan. Tak salah kalau menyintai suami orang tapi jangan sampai timbul niat dalam hati kau untuk merampas dia dari isterinya. Jangan sekali-kali macam tu. Kau sendiri boleh paham kan?”, Suraya diam. Dipejamkan matanya. Dimatanya ada Wan Adli dan dihatinya juga sudah pasti hanya ada lelaki itu. Bagaimana kalau isterinya tahu?. Tidak...aku tak akan merampas dia dari keluarganya. Cukup saja kalau dia menyayangi aku...cuma itu yang aku mahu.

Setiap helaian kertas yang baru dibentangkan tadi dicatitkan sesuatu untuk memudahkan membuat kerja. Sebahagian dari kakitangan yang bermesyuarat tadi sudah keluar dari bilik mesyuarat. Suraya masih lagi ditempat duduknya menyemak pelan-pelan rancangan yang baru dibentangkan tadi. Kak Yati yang mengutip cawan-cawan minuman datang menghampirinya.
“Sue lusa Kak Yati nak pergi Mekah”.
“Iya...alhamdulillah murah rezeki Kak Yati. Kenapa hari ni baru bagi tahu saya?”,
“Cuti baru lulus kelmarin”,
“Sue doakan Kak Yati selamat pergi dan selamat pulang. Lepas ni kena panggil hajah Yati la ye”, Kak Yati cuma tersenyum.
“Sue nak pesan apa. Boleh Kak Yati carikan”,
“Eh! Tak payah lah. Kak Yati pergi sana nak buat amal ibadat. Kang saya pesan macam-macam tak terbuat ibadat pulak asyik kena pergi shopping pulak. Salah niat pergi Mekah tak elok”, Kak Yati ketawa. Didalam kepala tersemat niat dihatinya mendoakan kebahagiaan hidup untuk gadis dihadapannya sekarang.
“Sue dengan Faizal bila lagi nak langsung?”,
“Lambat lagi la Kak Yati. Ada setahun lebih lagi”,
“Jangan lama-lama sangat nanti banyak dugaan”, Suraya senyum kelat. Dikerlingnya pada wajah wanita dihadapannya itu yang tersenyum. Kalaulah Kak Yati tahu antara aku dengan Faizal tak ada apa-apa hubungan, apa yang akan dia katakan?.
“Kak Yati suka sangat tengok Sue dengan Faizal. Sama-sama padan”,
“Ada-ada je Kak Yati ni. Ada jodoh nanti saya kahwinlah dengan Faizal tu”,
“Kenapa cakap macam tu. Sue tak nak berjodoh dengan Faizal ke?”, Suraya terdiam.
“Kita cuma merancang”, dia bersuara perlahan.
“Memang la kita cuma merancang tapi kalau dah terikat tu, harap-harap jadilah. Kak Yati teringin sangat nak tengok Sue bersanding dengan Faizal”,
“Dua tahun tu macam-macam boleh jadi Kak Yati”,
“Masing-masing kena usaha. Itu sebab benda yang elok jangan suka ditangguhkan. Alam pertunangan ni kalau lama-lama sangat makin kuat dugaannya”, dia senyum memandang Kak Yati. Digaru kepalanya yang tak gatal.
“Nanti Kak Yati doakan untuk Sue”,
“Doa apa Kak?”,
“Doakan Sue kahwin cepat”,
“Ada-ada je Kak Yati ni. Saya banyak lagi benda nak buat selain dari kahwin tu”,
“Sue nak buat apa lagi?”,
“Saya nak buat harta setinggi bukit. Senang hidup bila dah tua besok”,
“Harta tu Faizal boleh carikan”,
“Tak nak la..mana tau dia kahwin dua ke besok. Tak dapat la harta tu kat saya, gerenti bini muda yang dapat”,
“Ya tak ya jugak kan”, Kak Yati tersengih. Mereka ketawa bersama. Tawa terhenti bila melihat Faizal muncul di pintu bilik mesyuarat.
“Buah hati Sue dah datang. Kak Yati keluar dulu ye”, Suraya angguk. Kak Yati keluar menatang cawan minuman yang dikutip tadi. Dilihat Kak Yati berkata sesuatu dengan Faizal dimuka pintu. Serentak mereka memandang Suraya dan Faizal tersenyum sambil mengeleng kepala. Kak Yati pula keluar dengan senyuman penuh makna dibibirnya. Dia cuma memerhati dari jauh. Disusunnya kertas-kertas minit dan juga kertas pelan. Faizal menghampiri dan turut mengulung kertas pelan. Kertas-kertas yang dipegang oleh Suraya diambil dan dikepit dicelah ketiak.
“Terima kasih, tak ada upah la nak bagi”, Faizal cebik bibir. Mereka berjalan beriringan keluar dari bilik mesyuarat.
“Tak pergi site ke?”,
“Cancel sebab hari ni aku ada perjumpaan tergempar”,
“Perjumpaan apa?”,
“Nama aku tercalon untuk menyertai program kerja ke London tu”, Langkahnya terhenti. Faizal disisinya turut terhenti.
“Kenapa?”, soalnya hairan melihat reaksi Suraya.
“Tak ada apa. Kalau dapat pergi berapa lama?”,
“Program tu setahun. Untung la siapa yang dapat pergi”, Faizal tersengih.
“Tak ada orang lain ke selain kau yang kena calon?”,
“Ada juga tapi tengok la macam mana keputusan mesyuarat atasan nanti”,
“Kalau terpilih kau pergi ke?”,
“Hei mestilah aku nak pergi. Ini la peluang aku nak berjalan kat tempat orang. Lagipun kalau aku ikut program tu bila balik ke sini sure aku naik pangkat”, Suraya diam seribu bahasa. Dibiarkan Faizal bercerita. Fikirannya melayang-layang. Kalau Faizal dapat pergi macam mana?. Hatinya tiba-tiba resah. Ada sesuatu yang menyentuh perasaannya.

Digit-digit nombor pada telefon ditekan berkali-kali. Ditekapkan gagang ke telinga. Dia mengeluh. Jawapan yang diterima tetap sama.
“Nombor yang anda dail tidak aktif”, di ejek cara percakapan pesanan suara dalam telefon. Diletakkan kembali telefon atas meja. Kemana Wan Adli sekarang ni?. Gagang telefon diraih semula. Nombor ditekan dan talian bersambung. Kedengaran suara kasar menjawab.
“Hello...Wan”, Talian terputus. Suraya tersentak. Terputus atau sengaja di putuskan?. Dia yakin yang menjawab panggilan tadi adalah Wan Adli. Tapi kenapa diputuskan line?. Seketika terdengar bunyi sms pada handphone. Dia bingkas bangun berlari ke dalam bilik. Dipicit punat pada telefon.
“Tolong jangan hubungi saya lagi”.
Dahinya berkerut. Mesej dari Wan Adli. Kenapa? Fikirannya kosong. Telefon yang berdering mengejutkan dirinya. Wan Adli agaknya...cepat-cepat di angkat gagang telefon.
“Hello...emm..Faizal”, senyum yang terukir tadi hilang bila suara yang didengar bukanlah orang yang ditunggu-tunggu. Selepas berbual seketika dia berlari masuk kedalam bilik. Dia perlu bersiap segera dalam masa setengah jam lagi Faizal akan datang menjemputnya keluar.

“Kita tengok wayang nak?”,
“Ok”, dia cuma mampu tersenyum. Faizal berlalu ke kaunter untuk membeli tiket. Mereka kemudian masuk ke dalam panggung dan mengambil tempat duduk. Suraya memeluk tubuh. Suhu air cond mencengkam tubuhnya. Digosok-gosok jemari untuk menimbulkan rasa panas. Sejuknya..gerutunya dalam hati. Faizal tekun menonton sedangkan dia separuh mati menahan sejuk.
“Kenapa ni?”, Faizal bersuara bila melihat tangan Suraya menggenggam kuat bajunya.
“Sejuk”, Faizal tersengih. Dibiarkan Suraya mengenggam bajunya. Mungkin dengan cara itu sejuk boleh berkurangan. Seketika ditoleh kembali pada gadis disebelahnya.
“Sejuk sangat ke?”, Suraya angguk kepala. Kasihan melihat gadis itu, ditarik jemari Suraya dan digengam erat sambil mengosok jemari tersebut. Suraya tersentak.
“Ok kurang tak?”, di anggukkan kepala. Dia mula gugup. Faizal masih lagi mengosok jemarinya. Kesejukan yang dirasakan tadi semakin berkurangan. Dia sudah boleh menonton filem dilayar putih dengan khusyuk. Dia diam bila tangan Faizal sudah berhenti mengosok jemarinya. Mungkin dia dah letih. Dia cuba menarik tangan dari genggaman Faizal tapi lelaki itu begitu kuat mengenggam jemarinya. Dia gugup..dalam kesamaran cahaya dia melihat lelaki itu penuh khusyuk menonton tanpa tahu apa yang bermain dalam hatinya sekarang.

“Hari hujan la”, Faizal tepuk dahi. Baru teringat yang kereta diletakkan jauh dari kawasan bangunan itu. Lif yang dinaiki turun ke tingkat tiga. Lif terbuka dan beberapa orang pemuda cina masuk kedalam lif menjadikan lif semakin sempit. Suraya yang berada tidak agak jauh dari Faizal terpaksa merapati lelaki itu. Bahu mereka bersentuhan dan tanpa sedar Faizal mengenggam jemarinya. Sekali lagi dia tersentak. Perlahan dia memandang wajah Faizal yang bersahaja. Keluar dari lif Faizal masih lagi mengenggam tangannya. Ditariknya tangan Suraya mengikut langkahnya. Suraya cuma diam. Dia tak tahu apa yang dirasakan sekarang. Sampai dihadapan bangunan mereka terpaksa menunggu untuk seketika kerana hujan yang turun terlalu lebat. Ada beberapa pasangan lain turut duduk disitu menunggu hujan berhenti.
“Sejuk lagi ke?”, Suraya menoleh pada Faizal yang dari tadi asyik merenung hujan. Di anggukkan kepalanya.
“Dah tahu malam kenapa tak pakai baju yang tebal sikit”,
“Mana tahu sejuk macam ni. Dah tu hujan pulak”, Suraya mencebik. Dibiarkan Faizal bercakap keseorangan. Dia betul-betul kesejukan sekarang. Tempias yang mengenainya semakin kuat. Suraya tersentak bila tangan Faizal memeluk bahunya. Lelaki itu rapat ketubuhnya. Bahang panas terasa meresap kedalam badannya. Dibiarkan Faizal menggengam jemarinya yang sudah kesejukan. Lidahnya kelu. Hatinya mula resah. Fikirannya berkecamuk. Perasaannya mula jadi tak menentu. Kenapa aku harus resah begini?.

Kakinya terhenti seketika dari mendekati lelaki itu. Teragak-agak dia untuk menghampiri Wan Adli yang sedang khusyuk memandang padang yang basah baru disimbahi hujan, sambil memegang payung. Lama dia berdiri dibelakang lelaki itu. Setitis air hujan menimpa dahinya, menyentakkannya dari lamunan. Perlahan dia mendekati Wan Adli.
“Assalamualaikum”, Wan Adli tersenyum.
“Waalaikumsalam”, Jawabnya perlahan. Matanya terarah pada padang yang basah. Suraya bungkam. Kenapa dia masih boleh tersenyum?. Tahukah dia yang aku merana merindukan dia?.
“Kenapa tak pakai payung nanti demam?”, dia diam membisu. Dibiarkan soalan Wan Adli berlalu tanpa jawapan. Wan Adli menghampiri gadis itu untuk memberikan sedikit teduhan dari ditimpa renyai hujan.
“Awak apa khabar?”, Suraya diam lagi. Wan Adli menoleh pada wajah disisinya. Mulut mogel itu tetap tertutup rapat tanpa suara sejak dari tadi. Kalau bersuara pun cuma menjawab salam.
“Saya tahu awak marahkan saya. Saya minta maaf sebab terpaksa abaikan awak untuk seketika”, Wan Adli melirik pada Suraya untuk melihat reaksi gadis itu tapi hampa. Gadis itu masih diam bersahaja.
“Kalau abaikan saya selamanya pun saya terima”, Wan Adli tersentak.
“Saya tak berniat nak abaikan awak dan saya buat macam tu bersebab”,
“Saya faham saya cuma menumpang kasih pada awak. Kalau sesekali awak terlupa itu perkara biasa. Siapalah saya di sisi awak”,
“Awak kekasih saya Suraya”, Suraya ketawa dan kemudian tertunduk membisu. Dia kehilangan kata. Kata-kata Wan Adli mengusik hatinya.
“Saya banyak tanggungjawab dan banyak perkara yang perlu saya selesaikan. Hal keluarga, hal mertua dan adik beradik. Saya terpaksa selesaikan apa yang saya hadapi sebab itu saya terpaksa mengabaikan awak sekejap. Saya harap awak faham”.
“Saya faham dan terlalu faham. Itu sebabnya saya tak kisah kalau awak terlupakan saya”,
“Saya tak pernah melupakan awak Suraya. Awak selalu dalam hati saya tapi...entahlah”, Wan Adli mengeluh.
“Awak menyesal mengenali saya?”, direnungnya wajah Wan Adli. Pantas lelaki itu melarikan pandangnya ke arah padang.
“Tak..saya tak pernah menyesal cuma saya takut awak akan kecewa kalau terus menerus bersama saya”,
“Saya dan lama kecewa dan akan terus kecewa”. Ujarnya sayu.
“Jangan macam tu, awak masih ada peluang mencari kebahagiaan lain. Saya tak mampu nak membahagiakan dua hati dalam satu masa. Saya izinkan awak mencari seseorang untuk hidup awak”,
“Atas sebab apa awak suruh saya buat macam tu?”.
“Sebab saya nak awak bahagia”,
“Saya dah cukup bahagia bila tengok awak bahagia. Saya tak menganggu keluarga awak. Saya tak memaksa awak bagi perhatian lebih pada saya dan saya tak pernah berniat nak hancurkan rumahtangga awak. Cukup saja awak sayangkan saya. Saya dah bahagia ”, Wan Adli geleng kepala. Bahagiakah gadis ini sekarang?.
“Carilah seseorang yang boleh membahagiakan awak. Perhubungan kita ni tak lama. Awak pun tahu penghujung jalannya nanti kan?”, Suraya tersengih. Dia mengeleng kepala.
“Awak datang bina cinta dalam hati saya. Awak bagi saya sayang dan kasih dalam hidup saya dan akhirnya awak suruh saya lupakan macam tu saja. Awak ingat perasaan ni main-main ke?”,
“Saya pun tak pernah main-main dengan awak tapi bila difikirkan semula ada baiknya awak buat apa yang saya suruh”
“Kan saya dah kata tak akan ada orang lain dalam hati saya melainkan awak”, Suaranya sedikit meninggi. Wan Adli tertunduk.
“Suatu hari nanti awak terpaksa juga melupakan saya”,
“Awak buatlah apa yang awak nak. Awak nak lupakan saya?. Ok fine..saya terima. Awak tak nak saya hubungi awak lagi?. Ok saya boleh buat. Awak nak saya cari lelaki lain. Ok saya akan cari. Saya boleh buat apa yang awak nak tapi jangan sekali-kali awak minta saya melupakan awak. Saya tak mampu Wan Adli...saya tak mampu nak lupakan awak”, Air mata yang ditahan tadi luluh jua. Wan Adli disebelahnya hanya membisu.
“Saya bersalah kerana membina cinta dihati awak dan akhirnya mengecewakan awak”,
“Cinta itu dah lama dalam hati kita cuma kita yang tak menyedarinya”, Wan Adli gigit bibir. Dia ingat itulah ayat yang ditutur pada Suraya saat dia ingin gadis itu menerima dirinya. Suasana sepi seketika.
“Kenapa kita ditemukan dalam keadaan begini. Kenapa tidak tiga tahun yang dulu”,
“Yang dah lama tu biarkanlah berlalu. Saya terima hakikat yang kita hanya ditakdirkan boleh bercinta dan tak lebih dari itu. Saya nak awak bahagia dan jangan tutup pintu hati tu untuk orang lain”. Gadis di sebelahnya tiba-tiba tersenyum.
“Entahlah..kadang-kadang saya rasa bodoh sebab menerima cinta suami orang. Awal-awal lagi saya tahu saya akan berkongsi kasih. Saya tahu walau sekuat mana pun saya menyayangi awak..saya akan kecewa juga dan akhirnya saya akan dilupakan”.
“Saya tak akan melupakan awak”, pantas Wan Adli memintas percakapannya.
“Kalau tak mahu lupa kenapa paksa saya terima orang lain?”,
“Sebab saya tak mampu bahagiakan awak”, Suraya diam. Fikirannya berkecamuk.
Entah apa yang dirasakan sekarang. Hendak ketawa atau menangis dia sendiri tidak pasti.
“Terimalah hakikat”, Wan Adli seolah memujuknya.
“Saya memang menerima hakikat cuma saya tak faham. Kenapa awak suruh saya cari orang lain sedangkan awak sendiri tak boleh melupakan saya”,
“Sebab saya terlalu sayangkan awak Suraya”, Suraya ketawa. Senangnya Wan Adli berkata-kata. Tidakkah dia tahu bagaimana seksanya aku besok nak melupakan dia. Bagaimana sakitnya aku merindukan dia nanti. Bagaimana susahnya aku nak menerima orang lain yang aku tak boleh terima.
“Berjanjilah dengan saya..carilah seseorang yang dapat membahagiakan awak”,
“Ok saya akan cari tapi awak kena ingat saya terima orang lain hanya kerana awak”,
“Jangan macam tu Sue”,
“Saya akan ikut apa yang awak nak kalau itu cara awak boleh bahagiakan saya. Saya akan paksa hati saya terima orang lain walaupun hati saya sakit. Awak tak pernah hilang dari hati saya...akan tetap di hati saya”, Suraya berlalu meninggalkan Wan Adli yang masih terpaku disitu. Gerimis turun lagi membasahi bumi sama seperti air matanya yang luluh sekarang ini. Dia memandang ke dada langit. Gerimis datang dalam setiap pertemuan aku dengan Wan Adli. Adakah ini pertemuan yang terakhir aku dengan lelaki itu?.

“Nah!”, Disambutnya botol mineral yang dihulurkan dek Faizal. Matanya masih memerhatikan air laut yang berombak kuat. Faizal duduk disisinya turut memandang ketengah laut sambil meneguk cola cola. Keluhan kecil keluar dari bibirnya.
“Ada masalah ke?”, Faizal bersuara. Dia menoleh sambil mengeleng kepala.
“Seronokkan kalau hidup tak ada masalah”,
“Tak seronok juga sebab otak tak berjalan untuk berfikir”,
“Ada pulak macam tu. Tak ada masalah la lagi seronok sebab tak payah fikir apa-apa”,
“Tak...tak seronok sebab otak tak berkembang”, dia jelir lidah.
“Kalau tak berkembang dia jadi lembap la ye”, Faizal mengangguk.
“Lembap macam kau la ye”, Pantas hidung Suraya ditarik. Suraya ketawa mengekeh.
“Kau tak ada date ke hari ni. Selalu tu pantang hari minggu mesti sibuk je”,
“Aku tengah date la ni...aduih! “, lelaki itu terjerit kesakitan bila cubitan Suraya hinggap dipehanya. Digosok-gosok peha yang baru terkena cubitan. Suraya tersengih. Ambik kau main-main je dengan aku.
“Orang serius dia main-main pulak”, Faizal ketawa mengekeh.
“Kau dah jumpa yang sesuai ke?. Suraya geleng kepala.
“Kau?”, Faizal juga mengelengkan kepala.
“Entah lah Zal. Kadang-kadang aku rasa macam malas nak mencari”,,
“Ada pulak malas-malas”,
“Aku rasa tak cari pun tak apa. Aku tak kisah. Lagipun aku dah serik”,
“Jangan macam tu. Benda dulu tu cerita lama. Sekarang ni kau kena buat cerita baru. Cari orang yang baru dan yang lebih baik dari yang dulu-dulu”,
“Aku dah letih”, ujarnya sambil mengeluh.
“Suka hati kau la tapi jangan tertutup terus hati tu sudah”,
“Cakap orang je, kau tu?”,
“Aku tengah mencari la ni tapi malang sangat sebab tak jumpa-jumpa”,
“Kau tu cari la yang elok sikit. Biar sedap sikit hati mak kau tengok bakal menantu dia besok. Ini tak, aku yang tengok ni dah menyampah kalau mak kau tengok lagi la menyampah agaknya”, Faizal ketawa kemudian diam. Dipandang wajah Suraya sekejap.
“Senang-senang sangat kita kahwin berdua je la”, Suraya tersentak. Faizal ketawa lagi. Dia mengeleng kepala. Dibiarkan Faizal ketawa. Suasana sunyi seketika.
“Zal..kau pernah tak terfikir kalau-kalau kita betul-betul kahwin besok?”
“Bercinta pun tidak macam mana nak kahwin”,
“Nak kahwin kena wajib bercinta ke?”. Faizal diam membisu.
“Entah lah Sue, aku tak pernah terfikir sampai ke situ. Tapi aku rasa kau dengan aku susah sikit nak bercinta”,
“Kenapa pulak susah?”, Faizal menoleh pada Suraya. Wajah gadis itu serius memandangnya. Dahinya berkerut.
“Kenapa?. Kau nak bercinta dengan aku ke?”, Kini giliran Suraya pula ketawa. Geli hatinya melihat riak wajah Faizal tadi. Gugup semacam.
“Sorry la you not my taste”. Mereka ketawa serentak.
“Zal kau anggap aku ni siapa dalam hidup kau?”,
“Semacam je soalan kau ni. Kenapa?”, Suraya jungkit bahu. Faizal mendekati Suraya. Ditariknya tangan Suraya dan diletakkan kedadanya. Suraya tersentak.
“Kau la sahabat aku dunia dan akhirat”, Faizal tersengih. Ditolaknya tubuh Faizal jauh dari dirinya. Benci dia melihat Faizal yang tersengih seperti mengejeknya. Mereka ketawa dan kemudian masing-masing diam melayan perasaan.
“Sue..aku ada berita nak bagi tahu kau ni”, suara Faizal memecahkan kesunyian.
“Apa?”, Faizal diam seketika. Wajah yang suram dipandang seketika. Berat hatinya hendak memberitahu. Baru semalam di pejabat dia nampak Suraya menangis. Bila ditegur katanya pening kepala.
“Kenapa Zal?”,
“Emm...nama aku dah terpilih untuk program kerja kat London tu”, Wajah Suraya berubah. Ditundukkan wajahnya merenung pasir pantai. Kegembiraan yang baru datang tadi hilang begitu saja. Hatinya tiba-tiba sebak.
“Congratulation...bila nak pergi?”,
“Next week!”, Suraya terdiam. Dipalingkan mukanya dari menghadap Faizal. Kenapa begitu cepat?. Matanya mula bergenang. Dia bangun dan berjalan ke tepi pantai.
“Sue..”, dia tersentak bila bahunya disentuh. Entah bila Faizal menghampirinya. Cepat-cepat dikesat matanya yang berair. Dia tak mahu lelaki itu tahu yang dia sedang bersedih.
“Kau menangis ke?”, digelengkan kepalanya.
“Buat apa nak menagis. Buang karen je”, Suraya senyum.
“Aku ingat kau menangis”, dia senyum lagi. Ditolaknya Faizal ke gigi air . Kemudian pantas dia berlari semula kebawah pokok tadi. Faizal tercungap-cungap mengejarnya dan duduk disisi. Terbit keringat didahi lelaki itu kerana disimbah cahaya matahari.
“Berapa lama kat sana?”,
“Setahun”,
“Lamanya”, Suraya bersuara perlahan.
“Tak lama la. Pejam celik sekejap je dah setahun”,
“Ye ke, kalau aku pejam celik tak setahun jugak macam mana?”,
“Itu kau pejam celik sebab sakit mata”, Suraya ketawa mengekeh. Suasana hening seketika.
“Nanti dengan siapa aku nak gaduh?”,
“Najwa kan ada”,
“Takan aku nak gaduh dengan Najwa pulak..kau ni”, Faizal tersengih.
“Sunyi la macam ni. Tak ada orang nak temankan aku bila boring. Tak ada orang nak temankan aku kerja sampai malam”,
“Shahrilkan ada?”,
“Kau gila ye pakwe orang tu. Nanti mengamuk pulak Najwa”, Faizal ketawa kuat. Sesekali ditepis rambut Suraya yang mengenai mukanya kerana ditiup dek angin. Kasihan melihat Faizal, di ambil getah dan di ikat rambutnya.
“Sue..bila aku balik besok genap la kita tunang dua tahun kan?”,
“Emm...”,
“Tak kan kau tak jumpa langsung?”, Suraya ketap bibir.
“Kan ke aku dah cakap aku malas, berapa kali kau nak tanya ni?.”,
“Jangan la marah. Kita dah berjanji kan aku mencari, kau pun mesti mencari ok. Janji kita cari sama-sama”, Suraya tertunduk diam. Aku tak akan mencari lagi. Cukup dihati aku cuma satu nama.
“Sue..semalam kau menangis memang sebab sakit kepala ke?”,
“Bila flight?”, Faizal bungkam. Soalannya tadi tidak dijawab. Dia tahu Suraya mengelak dari di tanya tentang semalam. Mesti ada sesuatu yang disembunyikan.
“Malam Ahad pukul 10.00. Kau nak datang ke?”,
“Tengok la”, jawabnya perlahan. Hatinya yang mendung tadi kembali sebak. Kenapa semuanya begitu cepat terjadi?. Kenapa semua yang aku mula sayang akan hilang?. Ditahan sebak didada. Kalau boleh dia ingin menangis di sini. Kalau boleh dia nak halang Faizal dari pergi ke London. Dan kalau boleh juga dia mahu lelaki itu tahu apa yang dirasakan sekarang. Tapi siapa aku?.
“Kau tahu, bila kau nak pergi ni aku rasa macam kehilangan sangat”,
“Hilang?”. Terjegil sedikit anak mata Faizal, dia agak kehairanan dengan kata-kata Suraya. Faizal garu kepala yang tak gatal.
“Jangan la macam tu. Aku tak hilang kemana. Lepas setahun aku balik sini semula kan”, ujarnya seakan memujuk.
Bibir mogel itu dipaksa tersenyum.
“Kalau aku rindu kat kau macam mana?”, tanya Suraya.
“Sebut nama aku sepuluh kali. Aku datang dalam mimpi kau”,
“Betul?”, Faizal angguk. Suraya tersenyum mengejek padanya. Ada sesuatu yang bermain di jiwa Faizal sekarang. Dia suka melihat gadis itu tersenyum. Tapi ada mendung diwajahnya. Senyum yang bagai dipaksa. Betul ke dia tak menangis tadi?.

No comments: