Thursday, July 29, 2010

Yg Ku Mahu pt17

Dia nampak lelaki itu berjalan menuju kebiliknya. Cepat-cepat dia masuk ke tempat kerja Najwa dan duduk disebalik dinding yang menjadi pemisah antara meja kakitangan pejabat.
“Oii.. kau buat apa kat sini?”.
“Syhh..”, Najwa kerut dahi. Hairan melihat perilaku Suraya yang duduk bertinggung di sebalik dinding, di penjuru mejanya. Suraya duduk kaku tidak bergerak.
“Kenapa kau ni?”, Persoalan Najwa tidak berjawab.
“Kalau nak main nyorok-nyorok pun jangan la kat meja aku ni”, Suraya diam membisu. Tak di endahkan apa kata Najwa. Najwa geleng kepala dan duduk untuk memulakan kerja.
“Najwa awak ada nampak Suraya?”, Zairul datang menghampiri dinding yang menjadi pemisah meja Najwa. Matanya melirik pada Suraya yang sedang mengeleng-gelengkan kepala. Ditelannya liur. Kedudukkan antara Zairul dan Suraya memang dekat. Jika Zairul menjengukkan kepalanya melepasi pembahagi yang separas bahu itu pasti dia dapat melihat Suraya yang sedang bersembunyi.
“Err...tak tau la, dia ada kat bilik kot”

“Saya dah pergi tapi dia tak ada”,
“Ke toilet barangkali?”. Zairul diam. Sesekali lelaki itu menguis rambut yang jatuh ke dahi.
“Tak apa kalau awak jumpa dia bagi tau saya ok”, Najwa sengih. Matanya masih memandang pada Suraya yang tunduk tidak bergerak.
“Keluar la dia dah pergi”, Suraya bangun perlahan-lahan. Kepalanya menoleh kiri dan kanan. Bila dah pasti Zairul tiada disitu dia tegak berdiri membetulkan blaus yang di pakai.
“Kenapa kau ni?”, Direnungnya Suraya yang duduk dihadapannya. Gadis itu sibuk membetulkan rambut yang sedikit kusut.
“Gaduh ke?”,
“Tak la”,
“Habis tu sampai main sembunyi-sembunyi macam ni. Tak ke ada masalah namanya”,
“Ini cara nak selesaikan masalah”, Najwa angkat kening. Dahinya berkerut.
“Ada ke pulak macam ni nak selesaikan masalah. Masalah apa tu?”,
“Ada la”, dikerlingnya Najwa.
Najwa mengeleng-ngeleng kepala, tak puas hati dengan jawapan yang diberikan dek Suraya. Pasti ada perkara lain yang disembunyikan.
“Sian dia Sue. Kenapa kau buat macam ni. Ke hulur ke hilir dia cari kau. Sampai je pagi tadi terus dia sebut nama kau”, Suraya diam. Dibeleknya gambar perkahwinan Najwa yang ada di atas meja.
“Aku tengok kau dalam ni tembam sikit la”, Najwa ketap bibir. Di ambilnya gambar dari tangan Suraya. Dia tahu Suraya cuba mengubah topik perbualan mereka. Pasti ada sesuatu yang gadis itu sembunyikan darinya.
“Aku tanya kenapa kau buat macam ni?”,
“Kan aku dah kata ini cara nak selesaikan masalah”,
“Masalah apa tu?”,
“Masalah hidup dan mati”, Najwa cuma diam membisu. Dipandangnya gelagat Suraya yang menguis sesuatu di atas meja. Orang seperti Suraya memang suka menyimpan rahsia. Lebih suka berdiam diri dari bercerita. Sukar nak dicungkil walau macam mana sekalipun.
“Lantak kau orang la janji bahagia”, Suraya senyum mengekeh.

Direnungnya kotak kecil berbalut cantik tu. Sudah hampir setengah jam kotak itu direnung. Pastinya dari Zairul kerana Zairul meninggalkan nota kecil di bawah kotak. Aku nak buka ke tidak?. Kotak kecil di ditarik lebih dekat. Direnungnya lagi kotak tersebut. Pantas pembalut cantik itu dikoyak perlahan-lahan. Seutas jam tangan berwarna emas kini berada di hadapannya. Jam tersebut di acukan ke tangan. Nampak cantik!. Telefon berdering.
“Hello”, sapanya.
“Dah buka kotak tu?”, Senyum terukir di bibir bila suara Zairul menyentuh gegendang telinganya.
“Thanks, susah-susah je awak”, dia ketawa kecil.
“Saya bersusah pun hanya untuk awak”, Suraya terdiam.
“Kita keluar lunch?”, ujar Zairul.
“Sorry saya dah kenyang”,
“Ok tak apa. Lain kali kita lunch sama ye”,
“Emm..”, dia diam lagi. Perutnya berbunyi pantas di tutupnya telefon dengan tapak tangan. Takut kalau-kalau Zairul mendengar bunyi perutnya yang kelaparan.
“Awak suka jam tu?”,
“Suka”, fikirannya kosong. Dia tak tahu topik apa yang perlu diperbualkan dengan Zairul. Fikirannya mula teringatkan perjanjiannya dengan Najiha.
“Tahu kenapa saya pilih jam?”,
“Tak tau”,
“Tanya la saya”, Lembut suara Zairul meresap ke telinganya.
“Kenapa pilih jam?”, Zairul ketawa bila Suraya lurus mengikut setiap katanya. Suraya senyum kelat. Baru tersedar akan kebodohannya. Seketika hatinya berbunga.
“Jam melambangkan masa. Setiap kali jarum saat itu bergerak itu bermakna setiap detik saya tak henti mengingati awak”, Suraya kaget.
“Kalau baterinya habis?”,
“Saya akan pastikan bateri tak habis”
“Mana boleh bateri tak habis?”.
“Kalau jarum tu terhenti itu bermakna saya terlupakan awak”. Zairul ketawa halus.
“Saya tak pernah lupakan awak Suraya”, Lidahnya kelu. Setiap ayat yang diluahkan dek Zairul meresap jauh ke lubuk hatinya. Seketika di teringatkan Najiha.
“Awak tak beli apa-apa untuk Najiha?”,
“Siapa?”,
“Najiha”, sekali lagi diulang sebut nama Najiha. Talian sepi seketika.
“Awak.. are you there?”,
“Yeah”, sayup suara Zairul menjawab panggilannya.
“Kenapa diam?”,
“Nothing, kenapa awak tiba-tiba sebut nama tu?”,
“Awak kenal dia kan?”, soalnya menduga.
“Awak kenal?”, Suraya senyum. Dia yang bersoal tapi Zairul pula menyoalnya dengan persoalan yang sama.
“Diakan kekasih hati awak. Takkan awak tak kenal?”, Talian sepi sekali lagi. Suraya dapat merasakan pasti waktu ini dahi Zairul berkerut seribu menahan rasa.
“Jumpa saya lepas kerja”, lelaki itu memberikan arahan padanya.
“Kenapa?”, soalnya kehairanan. Dikala itu bermacam-macam reaksi wajah Zairul terbayang dimatanya. Mungkin Zairul tak senang duduk bila mendengar nama Najiha.
“Kita berbincang”,
“Bincang di sini saja”, pintanya pula.
“Jumpa saya lepas kerja”, Zairul mengulang kembali permintaannya tadi. Nada suara itu semacam keras.
“Tapi..”,
“Tak ada tapi-tapi. Jumpa saya lepas kerja”, Talian putus. Zairul dah meletakkan gagang. Hatinya mula gelisah. Marahkah dia pada aku?.

Dia nampak Zairul yang duduk sambil memegang dahi. Raut wajah lelaki itu semacam bermasalah. Pelayan yang mengiringinya tadi telah berlalu pergi. Perlahan dia menghampiri lelaki itu.
“Zairul”, lelaki itu tersentak.
“Sue..duduk la”, dia duduk menghadap Zairul. Raut wajah berkerut seribu tadi berubah menjadi tenang bila senyum terbit dibibirnya.
“Saya...pasal tadi tu saya minta maaf”, Tersekat-sekat ayat yang keluar dari bibirnya. Gelisah hatinya tak mampu hilang walalupun wajah tenang Zairul memenuhi pandangan matanya.
“Macam mana awak kenal dia?”.
“Najiha?”, Zairul diam. Wajah tenang tanpa menunjukkan sedikit pun kegelisahan.
“Tak payah la awak tau macam mana saya kenal dia. Dia bakal tunang awak kan?”,
“Macam mana awak kenal dia?”, Sekali lagi ayat itu di nyatakan.
“Itu tak penting yang penting saya nak tanya kenapa tak bagi tau saya yang awak nak bertunang. Kenapa tangguhkan?”, Wajah Zairul dihadapannya di renung dalam.
“Saya cuma tanya macam mana awak kenal dia?”, bentak Zairul. Suraya tersentak. Sedikit terkejut dengan nada suara Zairul yang kasar .
“Najiha call saya”, Zairul mengeluh. Air minum diteguk sedikit. Dia nampak wajah Suraya yang terkejut. Dia sendiri kalau boleh tak mahu bertegas begitu. Tapi hanya dengan bertegas sahaja Suraya boleh bersuara sesuatu yang benar. Gadis itu diam membatu. Mungkin dia takut lagi untuk bersuara. Lantas diletakkan sekeping not RM10.00 di atas meja dan ditariknya tangan Suraya keluar dari perkarangan restoran.

“Maafkan saya”, Zairul mengusap rambutnya perlahan. Dipandangnya wajah Suraya yang mulus. Wajah yang tak pernah hilang dari hatinya. Wajah yang dipendam selamanya hingga ke mati sekalipun.
“Kenapa tak pernah bagi tau saya?”, Perlahan Suraya bersuara.
“Saya ingat lepas balik dari JB, saya nak cerita pada awak pasal Najiha. Tapi saya tak
sangka dia yang bertindak dulu”,
Deru angin laut memainkan rambutnya. Dibiarkan rambut menutupi mata. Matanya tidak beralih dari memandang sekumpulan semut yang sedang bergotong royong mengangkat secebis roti.
“Dia pilihan mak saya. Sama macam tunang saya yang dulu. Awak ingatkan?”, Suraya masih lagi tunduk. Apa yang dia tahu, perkara ini perlu diselesaikan hari ini juga. Suraya perlu tahu apa yang dia rasakan sekarang.
“Saya anggap dia macam adik saya. Tapi atas desakan mak saya menurut cakap mak untuk bertunang dengan dia. Sebab mak dah berkenan sangat dengan dia. Saya tak mampu menolak”,
“Terima itukan lebih baik”,
“Dia hanya adik pada saya. Cinta saya tak ada untuk dia”,
“Selepas kahwin boleh pupuk cinta tu. Rasanya lebih elok kan bercinta selepas berkahwin. Rul..terima lah dia seadanya. Mungkin dia pilihan terbaik”,
“Awak tau kan saya sayangkan awak?”.
“Sayang kita terhad sebagai kawan”,
“Kenapa perlu ada had atau awak sendiri yang letakkan had tu bila tau hal ni”,
“Hubungan kita memang patut ada hadnya. Macam mana kita dulu, macam tu la kita sekarang”,
“Saya tau cinta awak untuk saya masih seperti dulu”,
“Cinta saya untuk awak belum ada sama ada sekarang atau dulu sekalipun. Kisah kita dah habis selepas awak tinggalkan saya. Cukup la kita sebagai kawan...saya bahagia”,
“Tipu...awak menipu diri sendiri Suraya”, Suraya tunduk. Biarlah aku menipu diri sendiri asalkan Najiha bahagia.
“Saya tahu..awak masih sayangkan saya. Saya nak hidup kita macam dulu. Saya rindukan hubungan kita macam dulu. Saya nak bina hidup saya dengan awak Suraya. Dulu saya tak ada keyakinan diri tapi bila bertemu awak semula saya tahu....Tuhan menemukan kita kerana ini. Dan disebabkan ini saya ambil keputusan tangguhkan pertunangan tu. Awak tau kenapa?. Sebab kekuatan saya ada kerana awak. Saya percaya awak adalah untuk saya”. Suraya diam. Fikirannya berkecamuk. Hatinya tersentak bila Zairul memegang bahunya. Kini wajah Zairul tepat dimatanya.
“Pandang mata saya dan cakap.....awak masih sayangkan saya”, Wajah Zairul dihadapannya di renung tenang. Wajah itu tetap tenang walaupun ada sedikit warna kemerahan tanda marah. Sebak menyelubungi hatinya. Bertahun wajah itu di kenangi dan kini bila semakin hampir disisi. Akhirnya terpaksa di lepaskan juga hanya kerana hati wanita lain.
“Saya sayangkan awak sebagai kawan”,
Lelaki itu mengeluh. Cengkaman pada bahu Suraya di lepaskan. Matanya bergenang. Bagaimana untuk dia memujuk Suraya. Dia tak mahu kehilangan gadis itu lagi.
“Najiha lebih memerlukan awak dalam hidup dia. Dia terlalu sayangkan awak. Kasih sayang dia untuk awak dah semakin dalam. Saya minta maaf sebab ganggu hubungan awak berdua”,
“Awak tak pernah ganggu hidup saya. Cuma Najiha yang tak boleh terima kenyataan. Kalau Najiha sayangkan saya sekali pun..saya lebih sayangkan awak dari dia”,
“Apa yang kita pernah lalui bersama, anggap saja tak pernah berlaku. Saya tak mahu di tuduh perampas kekasih orang. Dan saya tak mahu ada orang lain yang sakit hati kerana perbuatan saya ni”,
“Pedulikan apa orang nak cakap. Awak tak pernah rampas saya dari sesiapa pun. Saya akan terangkan pada Najiha”,
“Najiha lebih perlukan awak dari saya Zairul”,
“Lagi-lagi Najiha yang awak sebut. Kalau betul sayang awak pada saya cuma sebagai seorang kawan. Bersumpah dengan saya sekarang”, Sekali lagi suara Zairul meninggi.
Saat matanya bertembung dengan mata lelaki itu cepat-cepat di larikan pandangannya ke arah laut yang semakin di makan senja. Cahaya senja yang berwarna kemerahan mewarnai pasir sepanjang pantai. Hatinya kalut. Bibirnya kelu.Yang nyata sedih semakin meruntun jiwanya dengan kata-kata Zairul.
“Saya menyesal kerana menyayangi awak dan saya juga menyesal kerana mengenali awak”, Di pandangnya wajah lelaki itu tepat ke mata. Anak mata Zairul digenangi air mata, begitu juga dengan matanya. Mereka sama-sama di landa kesedihan.
“Betul-betul awak menyesal mengenali saya?”, Suraya tunduk. Air matanya jatuh jua. Digelengkan kepala.
“Saya menyesal kerana semakin menyayangi awak”, Saat Zairul meraih dirinya dalam pelukan, air matanya tumpah disitu.
“Saya berjanji tak akan tinggalkan awak Suraya”, Dipejamkan matanya rapat-rapat.
Dia tak mampu lagi untuk menipu diri sendiri. Wajah Faizal, Emak,Puan Zarina, dan Najiha datang silih berganti. Dipejamkan matanya rapat-rapat. Dia tak mahu berfikir apa yang akan terjadi hari esok. Hakikat yang ada dalam hatinya sekarang, dia tak mahu lelaki itu hilang lagi dari hidupnya.

“Saya tak sangka orang yang saya harapkan rupanya tak boleh dipercayai”,
Pintu biliknya terbuka luas. Sekujur tubuh dengan wajah yang merah merenung matanya. Najiha!. Suraya pejam mata menarik nafas.
“Sorry Sue..dia masuk meluru”, Najwa bersuara agak cemas. Dia masih terkejut dengan tindakan wanita yang tidak dikenalinya itu.
“It’s ok Najwa. Tolong tutup pintu”, Najwa akur. Ditariknya pintu. Najiha yang masih tercegat di situ dipandang sekilas.
“Duduklah Jiha”,
Gadis itu menuju ke mejanya perlahan. Beg tangan diletakkan pada kerusi sebelah.
“Kenapa awak sanggup buat Jiha macam ni. Selama ni Jiha ingat kalau awak ada, segalanya boleh selesai tapi tak sangka bertambah buruk jadinya. Kalau betul awak sukakan abang kenapa tempoh hari awak menipu Jiha?”,
Belum pun punggungnya mencecah kerusi, serangan soalan pertama sudah tercetus dibibir Najiha. Suraya diam, dia menraik nafas mencari ruang untuk memberi jawapan terbaik. Dia tahu, kemarahan sudah memenuhi hati gadis di hadapannya sekarang.
“Saya cuba untuk tidak jatuh cinta tapi kita manusia biasa Jiha”,
“Cuba tak nak jatuh cinta konon”, Najiha juih bibir. Suraya tarik nafas panjang. Sakit matanya melihat wajah Najiha.
“Kalau dah tahu tak nak jatuh cinta kenapa masih gatal lagi nak berkawan. Orang kalau dan buat salah macam-macam alasan yang dibagi nak menafikan kesalahan”,
“Zairul sahabat saya, salahkah saya berkawan dengan dia?”, ujarnya perlahan.
“Salah, memang salah. Cara awak berkawan dengan abang tak menunjukkan lansung yang awak sebagai kawan tapi lebih dari itu. Awak Suraya, kalau terdesak sekali pun tolonglah jangan buat cerita yang kotor untuk ambik simpati orang lain”,
“Saya tak pernah buat cerita kotor”, dinafikan kata-kata Najiha. Tak sangka gadis itu boleh berfikiran sedekian terhadapnya.
“Tak pernah buat cerita kotor. Jiha tahu awak gunakan masalah awak dengan tunang awak untuk raih simpati abang”,
“Antara saya dengan tunang saya, cuma saya yang tahu apa terjadi”,Suasana sepi seketika. Gadis di hadapannya mula bergenang air mata. Suraya tenang memandang.
“Jiha tak sangka awak sanggup ketepikan hak Jiha dan rampas hak yang sepatutnya jadi milik Jiha”, suara Najiha sedikit tegang.
Suraya hanya melirik pandang pada gadis itu, fikirannya berkecamuk. Bagaimana harus dia membetulkan keadaan ini?.
“Saya tak pernah merampas, Jiha sendiri boleh berbincang dengan Zairul”, ujarnya tenang.
“Dah tak ada apa lagi yang boleh dibincangkan. Entah apa agaknya yang awak bagi abang makan sampai cakap Jiha abang tak mahu dengar. Ubat apa yang awak guna ni. Kalau betul pun awak nakkan abang ambillah cara baik jangan guna permainan kotor ni”,
“Awak bercakap mengikut perasaan awak Jiha”,
“Memang Jiha ikut perasaan. Hati Jiha dah sakit. Jiha kecewa sebab apa yang Jiha inginkan dihancurkan oleh awak. Awak punca semua ni. Awak punca abang jadi macam ni. Awak akan terima balasannya nanti”,
Tuduhan melulu itu bertubi-tubi dilemparkan padanya. Dia tenang mendengar. Tangis Najiha semakin kuat kedengaran. Begitu banyak tuduhan Najiha, begitu banyak doa Najiha untuk balasan pada dirinya.
“Saya akan cuba berbincang dengan Zairul”, perlahan dia bersuara, berusaha untuk menenangkan hati gadis di hadapannya. Najha mengerling ke arahnya.
“Tak payah..Jiha tak perlukan pertolongan awak lagi. Awak tak boleh dipercayai. Kalau Jiha tahu begini jadinya, sejak dari mula kita berjumpa Jiha dah sepatutnya tampar pipi awak”, dibiarkan Najiha melepaskan kamarahan. Kalau diikutkan perasaan nak saja ditutup mulut gadis itu dengan tangannya. Telinganya dah tak tahan mendengar kemarahan Najiha.
“Kalau itu yang buat Jiha puas hati. Buat la sekarang..saya sanggup”, Najiha tersengih. Bencinya dia melihat lagak Suraya. Perempuan yang tak boleh dipercayai.
“Sudahlah tu Suraya..Jiha tak nak buat semua tu sebab awak dah berjaya rampas abang dari Jiha. Jiha tahu awak terdesak. Awak dah semakin tua dan awak takut jadi anak dara tua. Itu sebabnya awak sanggup buat apa saja, awak sapu saja siapa yang lalu didepan awak”,
“Shut up Najiha...saya tak semurah yang awak cakapkan dan belum masanya lagi saya terdesak untuk buat semua tu” Digenggamnya pen ditangan. Najiha dihadapannya cuma berdiam diri. Mungkin terkejut dengan ketinggian suaranya tadi. Gadis itu mengambil beg tangannya. Dipandangnya wajah Suraya.
“Jiha tak akan diam diri. Jiha akan tuntut balik hak Jiha yang awak rampas”. Gadis itu bangun. Pintu bilik dihempas kuat. Suraya kaget. Direnungnya meja kaca. Fikirannya berputar. Pandangannya kabur.

“Sue are you okey..siapa perempuan tu hempas pintu macam nak roboh bilik ni jadinya?”, Suraya masih lagi tunduk.
“Kau okey Sue?”, Kepala di angguk perlahan tanpa memandang Najwa yang berdiri dihadapannya.
“Tadi Zairul call. dia kata dia terpaksa over night kat Pahang untuk dua tiga hari ni. Kalau kau ada masalah dia suruh kau call bilik dia sebab hanphone dia rosak pagi tadi”, Najwa kerut dahi. Suraya masih lagi diam membisu. Diletakkan sekeping nota pesanan dari Zairul dicelah jari Suraya. Cepat-cepat dia keluar. Dia tak mahu mengganggu Suraya ketika ini. Dia tahu Suraya dalam permasalahan besar. Kalau tidak masakan tadi dia terdengar suara Suraya kuat dari dalam bilik dan selang beberapa minit perempuan tadi keluar menghempas pintu. Nak ditanya takut pulak kalau-kalau Suraya mengamuk. Emm..biar la dia layan perasaannya tu.

“Sue bangun”, Suraya tersentak. Dipandangnya wajah Najwa yang kabur. Dikesat kedua belah matanya.
“Aku tertidur ke?”, Najwa angguk.
“Kau menagis Sue?”,
“Eh! Taklah. Kalau tengah tidur macam mana pulak boleh menangisnya. Mengarut je kau ni”,
“Aku nampak tadi. Kau menangis sampai tertidur. Apa yang dah berlaku Sue?” Suraya geleng kepala. Diketap bibirnya menahan rasa. Kalau diikutkan rasa hati nak saja diluahkan pada Najwa agar Najwa tahu apa yang ditanggung sekarang. Tapi siapa Najwa untuk aku luahkan masalah ini. Najwa tak tahu apa yang terjadi dan andai Najwa tahu pasti permasalah lain yang akan timbul.
“Dah pukul berapa sekarang?”,
“Pukul 6, aku nak balik. Kau tak nak balik ke?”,
“Ermm..aku nak stay sekejap kat sini”,
“Nak aku buatkan milo untuk kau?”,
“Boleh juga”.
Najwa senyum dan berlalu meninggalkan Suraya. Betul ke aku menagis?. Cepat-cepat di ambilnya cemin kecil. Ya Allah mata aku bengkak. Patutlah Najwa kata aku menangis. Aku sendiri tak sedar bila masanya aku tertidur. Cepat-cepat dia bangun menuju ke toilet. Dicucinya muka. Seketika direnungnya wajah dalam cermin. Adakah aku perampas kekasih orang?. Terdesak ke aku sekarang ni mencari suami?. Jahat sangat ke aku?. Malunya aku pada Najwa. Entah apa yang Najwa fikirkan.
Sekeping nota dari Najwa. Suraya senyum. Nota kecil di atas meja dipandang sekilas. Pesanan dari Zairul itu dicampakkan kedalam tong sampah tanpa membacanya terlebih dahulu. Antara aku dengan Zairul mungkin hanya disini. Aku perlu jauhkan diri dari hidupnya untuk kebahagiaan orang lain. Biarlah aku kecewa kerana aku dah biasa kecewa. Matanya tertumpu pada skrin komputer. Jemarinya menekan tetikus. Dibuka email, satu keluhan keluar dari bibirnya. Tiada lansung email dari Faizal. Pantas jarinya menaip sesuatu. Ingin rasanya dia menghantar khabar pada Faizal. Menceritakan segala apa yang terjadi pada dirinya. Hendak saja diluahkan bagaimana sakitnya jiwa menghadapi insan seperti Najiha yang tak mahu menerima kenyataan. Bagaimana rindunya dia pada gurauan Faizal yang kian menyepi. Seketika jemarinya terhenti. Selang beberapa saat ditekannya butang delete. Dia tak mahu mengganggu Faizal sekarang. Deringan telefon mengejutkan hatinya.
“Hello..Suraya ada?”,
“Suraya bercakap, siapa tu?”. Ditelannya liur. Suara garau wanita ditalian semacam pernah didengar.
“Makcik...ibu Zairul”. Lidah Suraya kelu. Kenapa ibu Zairul menelefonnya malam begini?. Bagaimana dia boleh dapat nombor pejabat aku?.
“Makcik..ada apa telefon saya?”, Dia cuba bermanis bahasa. Dia tahu mesti ada sesuatu yang akan terjadi.
“Tak boleh ke macik nak telefon kamu atau kamu terperanjat?. Kamu tak perlu tanya dari mana makcik dapat nombor telefon kamu ni. Makcik cuma nak bertanya pada kamu tentang Zairul”, Lembut sahaja suara wanita itu masuk ketelinganya. Walaupun lembut tapi cukup membuatkan suasana dalam bilik yang tadinya sunyi sepi kini terasa berbahang.
“Kenapa dengan Zairul?”,
“Makcik tahu kamu adalah gadis yang berkawan dengan Zairul empat tahun dulu kan. Zairul dah ceritakan segalanya pada macik. Makcik tak halang kamu berkawan tapi cuma makcik nak tahu apa yang kamu buat dengan Zairul?”.
“Saya tak buat apa-apa”,
“Kalau tak buat apa-apa kenapa boleh jadi macam ni. Kenapa Najiha boleh datang menangis kerumah makcik kalau tak ada sebabnya. Bukan sebab kamu ke puncanya?”,
“Najiha dah salah anggap tentang hubungan saya dengan Zairul. Kami cuma kawan baik sahaja”, Talian sunyi seketika. Terdengar suara wanita itu mengeluh.
“Najiha kata kamu dah merampas Zairul dari dia. Kamu dah bagi Zairul macam-macam sehingga Zairul tak boleh baik dengan Najiha. Makcik tak mahu fikir yang bukan-bukan tentang kamu”,
“Saya tak merampas Zairul dari Najiha dan demi Allah saya tak buat apa-apa pada Zairul. Saya dengan Zairul cuma kawan baik sahaja. Saya akan pastikan Zairul terima Najiha semula”,
“Entahlah...makcik tak mahu dengar apa-apa janji dari kamu. Satu je makcik mohon dari kamu. Tinggalkan Zairul dan jangan ganggu hidup Najiha lagi”,
“Tapi makcik...”,
“Najiha kata kamu terdesak mencari suami dan makcik mohon sangat pada kamu jangan jadikan Zairul mangsa terdesak kamu. Kamu ada tunang, jaga lah tunang kamu baik-baik”, Klik.
Suraya tersentak. Tangannya mengigil. Lidahnya jadi kelu. Gagang dah pun diletakkan tanpa sempat dia berkata apa-apa untuk membela dirinya sendiri. Matanya bergenang. Nampaknya Najiha sudah memulakan langkah untuk memburukkan dirinya. Entah apalah cerita yang Najiha sampaikan pada ibu Zairul hingga wanita itu tak mahu mendengar dia berkata apa-apa. Hatinya tiba-tiba sebak. Matanya meliar mencari sesuatu. Dikepalanya hanya terbayangkan wajah Wan Adli. Didailnya nombor telefon lelaki itu tapi seketika talian diputuskan. Untuk apa aku menghubungi dia?. Aina!...ditekan nombor telefon Aina pula tapi hampa. Talian tiada lagi dalam perkhidmatan. Deringan telefon memeranjatkannya.
“Hello Sue”,
“Wan Adli...”, Tangisnya tumpah disitu. Tiada apa lagi yang boleh dikatakan selain dari menangis dan terus menangis.

Secawan kopi panas dihulurkan pada Suraya yang duduk bertinggung ditepi jalan. Suasana di perhentian lebuhraya itu semakin ramai pengunjung. Dalam keadaan tengah malam begini biasanya ramai pemandu yang berhenti untuk beristirehat. Sekumpulan kanak-kanak ketawa riang bermain ditaman permainan yang suram disimbah cahaya lampu jalan.
“Kita tak sepatutnya bertemu lagi Wan Adli”,
“Kenapa awak cakap macam tu?”,
“Antara kita dah tak ada apa-apa”, Wan Adli tersenyum. Dihirupnya kopi panas perlahan-lahan.
“Kita masih ada hubungan. Selagi awak mengingati saya, selama itu juga saya tetap menyayangi awak”, Suraya toleh memandang wajah Wan Adli. Malunya dia pada lelaki itu. Tak dapat dibayangkan bagaimana tadi Wan Adli memujuknya supaya berhenti menangis. Setengah jam kemudian Wan Adli berada dihadapan pejabatnya.
“Kenapa awak selalu ada tiap kali saya begini?”,
“Kita punya pertalian perasaan Sue. Apa yang awak rasa sekarang, saya jugak merasa sebab kita saling memerlukan”,
“Tapi awak dah tak perlukan saya. Awak tolak saya dari hidup awak”,
“Saya bukan menolak awak. Saya bagi awak peluang cari cinta yang baru. Saya juga tak pernah minta awak melupakan saya”. Suraya tarik nafas dalam-dalam. Kepalanya tertunduk merenung jalan.
“Isteri awak tahu awak kesini?”, Wan Adli sengih. Dia sepatutnya bertugas hari ini. Tapi entah kenapa hatinya ingin sekali bertemu Suraya. Dan saat dia mendengar Suraya menangis ditelefon tadi dia tahu gadis itu memerlukan seseorang ketika ini.
“Saya disini kerana awak Suraya”. Suraya diam. Seketika sendunya kedengaran. Wan Adli tersentak. Adakah kerana kata-kata tadi buat Suraya jadi sedih sebegini?.
“Saya minta maaf kalau cakap saya..”, Suraya geleng kepala.
“Kenapa perkara begini sering terjadi pada saya. Setiap yang saya sayang pasti hilang...saya hilang awak, saya hilang Faizal dan saya akan hilang Zairul”. Wan Adli diam. Lidahnya kelu. Dibiarkan Suraya menangis. Dia tahu gadis itu telah lama menahan rasa. Menahan dan menelan semua rasa kecewa bertahun dulu.
“Menangis la kalau itu yang dapat menenangkan hati awak”. Suraya tunduk. Berjurai air matanya menitik membasahi permukaan jalan. Dimatanya bersilih ganti wajah datang dan pergi. Hatinya sebak seperti tak mampu ditahan lagi. Tangisnya terhenti bila Wan Adli mengelus rambut ditelinganya. Itulah pertama kali sejak perkenalan mereka lelaki itu menyentuh dirinya.
“Apa yang terjadi pada awak saya berhak tahu dan saya nak awak bahagia semacam mana saya bahagia sekarang. Tolong jangan menangis lagi, saya tak sanggup tengok orang yang saya sayang selalu dalam kesedihan”. Dipandangnya mata lelaki itu. Jelas wajahnya tenang walaupun sinar lampu jalan agak suram.
“Carilah cinta yang boleh membahagiakan awak dan bukannya cinta begini yang buat awak bersedih setiap hari”. Dikesat matanya perlahan. Dia tahu lelaki itu terlalu sayangkan dirinya sebagaimana dia juga tak henti mengingati lelaki itu. Tapi apa yang boleh dilakukan, kasihnya kita terkubur dihati. Kita ditakdir berjumpa dan bercinta bukannya untuk bersatu. Hatinya tenang seketika. Dipandangnya langit yang gelap dihiasi bintang malam. Kali ini tiada lagi gerimis di tengah hari yang selalu meraikan pertemuan kita. Sekilas wajah Wan Adli ditoleh. Lelaki itu turut melihat bintang di dada langit. Mungkinkah kita boleh bertemu lagi?.
"

No comments: